Saturday, November 22, 2014

CINTA YANG DIPAKSA


Ini kisah cinta yang dipaksa.



Qurratu A’yuni mengeluh lagi. Penat barangkali. Namun, langkah kaki diteruskan. Bimbang ada yang menanti. Dia benci sekali. Kalau dia angkara mesyuarat persatuan lambat bermula. Tapi hari ini, dia tersasar sungguh. Kelas tamat lewat dari biasa, disusuli perbincangan bersama teman-teman sekumpulan. Dia tahu, dia kelewatan. Dan dia tidak sepatutnya begitu. Langkah dilajukan. Sesampai di bilik mesyuarat. Khali.  Sunyi. Sendiri. Bingung seketika. Mana mungkin tiada yang sudah tiba. Dia melihat waktu di telefon bimbit pintarnya. Sudah pukul 3.15 petang. Janji mesyuarat bermula pukul 3.00 petang. A’yuni tersenyum memujuk diri. Bukankah situasi begini sudah biasa, entah kenapa hari ini dia harus hairan. Dia mengambil tempat di hujung meja. Tidak berminat untuk di hadapan. Biar yang berkelayakan saja.
Seorang demi seorang masuk memenuhi bilik mesyuarat. Roman wajah usaha untuk dimaniskan. Cuba bertanya khabar dan sedikit berceloteh. Menyimpan kemas rasa yang terpendam. Biar dipujuk sendiri. Tepat jam 4.00 petang, mesyuarat bermula. Dan, diingatkan sekali lagi, sebelumya dijanjikan mula pukul 3.00 petang. Semua ahli sibuk. Dan A’yuni dipaksa unyuk memahami. 45 minit dia menunggu. Mungkin ini yang dimaksudkan mewakafkan masa di jalan Allah. Mesyuarat rancak sekali. Berbincang tentang perancangan, aktiviti dan strategi persatuan mereka. Tidak lain tidak bukan, untuk mengizzahkan agama di bumi kampus. Biar biah Islamiyyah sentiasa terjaga. Bimbang dicerobohi anasir jahiliyyah. Berungguh sekali seorang demi seorang memberi pandangan. A’yuni, hanya setia memerhati. Entah, dia jadi kelu. Dia pengecut. Dia penakut. Kecut melontarkan idea dan takut memberi pandangan. Sedangkan mindanya ligat sekali bekerja mencerna patah demi patah teman sejawatan. Bukan dia tidak mengerti. Tetapi, dia tiada hati, dan tidak berani. Persoalan bermain di kotak minda. Dia ketepikan saja.
Tamat mesyuarat, mereka berbual mesra tentang isu sekeliling. Merungut tentang pentadbiran yang giat berusaha untuk memesongkan pelajar kepada budaya jahiliyyah. Mengherdik pelajar kampus yang tidak cakna. Hebat sekali. A’yuni meminta izin untuk mengundur diri. Ada hal lain mahu diselesaikannya segera. Padahal emosi dan rasionaliasi sendiri yang penat dan bingung. Pulang saja ke kolej kediaman, A’yuni tidur dalam kepenatan. Bersama angan mahu mebaca, mahu menyiapkan tugasan, mahu merangka aktiviti persatuan. Semuanya tenggelam dalam angan dan mimpi.
Pukul 7.30 malam. Terkocoh-kocoh dia bangun. Selesai saja solat Maghrib, tidak pula disentuh Al-Quran. Walaupun hatinya terpanggil benar. A’yuni memilih untuk termenung. Terasa berat sekali fikirannya. Memikirkan itu dan ini. Banyak sekali dia tidak faham, dengan sikap manusia berjiwa besar di sekelilingnya. Dia masih ingat lagi, ketika dia mengadu kepada seorang akhawat tentang masanya yang suntuk. Terpaksa berbagi, untuk kerja dakwah, persatuan dan pelajaran sendiri. Kerja dakwah harus didahulukan, pelajaran jangan dilupakan. Kata mereka.
Selaku pelajar jurusan undang-undang. Dia ada timbunan kes, artikel dan jurnal yang harus dicerna isinya. Untuk masa yang berbagi, dia mengemis sedikit faham dari akhawat lain, untuk memberinya ruang. Agar pelajarannya dapat dihadam. tapi bukan faham yang diperoleh, malah akhawat pantas membalas. Jangan jadikan pelajaran sebagai alasan untuk tidak mejalankan kerja dakwah. Kata akhawat itu, sesiapa yang menolong Allah, Allah akan menlong dia. Dibawakan kepada A’yuni contoh-contoh insan cemerlang, yang kurang hadam mata pelajaran tapi masih mendapat keputusan pepriksaan yang memuaskan. Nah, betapa benar sekali janji Allah. Tinggal kita, harus percaya. Sekali lagi persoalan bermain di kotak minda. Tapi, A’yuni ketepikan saja.
Akhirnya, A’yuni memujuk diri. Mungkin saja dia yang kurang percaya. Tidak yakin dengan janji Allah. Kurang berusaha. Tidak memaksimakan penggunaan masa, dan banyak meminta rehat. Dia akhirnya memilih untuk mengikut saja. Kerja dakwah didahulukan, pelajaran tidak boleh jadi alasan. Walaupun seribu ketidakpuasan bertamu. Dia diamkan saja. disangka Iblis la’natullah yang tidak senang melihat kesungguhanya dalam gerak kerja dakwah lalu berusaha menghasut.
Dan hari demi hari berganti. Kasus, artikel dan jurnal undang-undang dipandang sepi. Pepustakaan juga bukan lagi jadi pilihan untuk persinggahan. Kerja berkumpulan untuk setiap mata pelajaran disiapkan di celah dan hujung waktu. Antara kerja dakwah dan rehat. Biar asal siap. Jangan dikata orang, cukuplah. Buku-buku ilmiah yang dibeli hanya jadi hiasan di rak buku. Namun, mesyuarat, usrah, tamrin, dan rehlah A’yuni akan tetap hadir tanpa gagal. Walau mindanya bosan mendengar pengisian yang sama, fizikalnya penat dengan masalah yang berulang. Dia teguhkan jiwa. Kerana kehadirannya ke semua aktiviti yang disusun, merupakan tanda aras kesetiaan kepada kumpulan dan pimpinannya. Dan itulah yang kumpulan dakwahnya harapkan. Ahli yang medengar kata, ahli yang tidak punya masalah peribadi, ahli yang suci dari noda dosa, ahli yang tidak menyoal dan membangkang. Tetap beristiqamah di jalan dakwah.
            Dan ini kisah cinta yang dipaksa.

Tuesday, July 22, 2014

Am Waiting For A Perfect Man!




Saya menerima kiriman gambar ini dari teman di Facebook. Tidak pasti ini satu ejekan, sindiran atau nasihat yang tulus ikhlas. Memandangkan di bulan mulia ini, bulan Ramadhan, saya bersangka baik. Ini nasihat orang yang sedang serkap jarang mungkin. Mungkin saja, orang yang banyak korek cerita atau rahsia orang tapi tidak tahu kesuluruhan cerita. Dengan mudah, mereka membuat analisa sendiri. Sungguh senang jadi manusia kan?

     Memandangkan saya kurang gemar sekali dengan sikap segolongan manusia ini. Suka mengorek cerita orang lalu menyebarkannya dan membuat analisa sendiri. Jadi saya memilih untuk menasihati diri saya terlebih dahulu. Kerana saya juga manusia biasa yang tidak terlepas dari melakukannya. Agar tidak dipandang jelek oleh pemilik cerita, apatah lagi dipandang jelek Tuhan. Na’uzubillah.

     Kita kembali ke tajuk sebenar. Waiting for a perfect man (Menunggu Lelaki yang Sempurna)? Siapa yang tidak mahu memiliki pasangan hidup yang sempurna? Beritahu saya.. Kalau diberi pilihan, pasti semua wanita di dunia ini menginginkannya. Tipulah kalau tak mahu. Bajet baik lah kalau menolak. Rezeki jangan ditolak kata orang. Bukan senang. Tapi persoalan di sini, sempurna yang bagaimana. Dan bagaimana boleh dikatakan seorang itu itu adalah sempurna?

     Dari segi materialnya, sempurna itu lengkap dari segala segi. Ketampanan wajah (yang ni letak nombor satu. Hahaha), kekayaan harta, ketinggian ilmu, kemuliaan akhlak dan peribadi, alim dan beragama, maskulin, keturunan hebat. Waah! Cukup pakej. Siapa tak mahu? Peerrggh.. tapi wujudkah lelaki macam ni dalam dunia? Tu yang tunggu-tunggu, sampai jadi tengkorak tu.. kalau wujud satu dalam seribu. Yang satu itu, belum tentu hendakkan kita. So sad..

     So, this is what I am waiting for? Bodohlah saya.. dan bodohlah anda.

     Ya, dari segi material itulah disebut sebagai kesempurnaan pada kaca mata kebanyakan manusia. Yang diajar dalam kisah-kisah fairy tales. Maka, perempuan yang hidupnya dalam dunia pari-pari pasti ternanti, bila gerabak diraja akan datang menjemput. Tapi, hello! We are not a kid anymore.. kita sedar tentang itu. Kita bukan budak-budak yang tergila-gilakan putera raja lagi.

     Semakin kita dewasa, we became more realistic. Kita sedar pakej sempurna yang ada itu hanyalah pada kaca mata material semata-mata. Hakikat kesempurnaan itu sebenarnya adalah berbeza di mata manusia. Kalau tidak, mesti tak ada orang dalam dunia ni berkahwin. Semakin kita membesar, kita jadi sedar, mencari yang sempurna itu hanya angan-angan dan keinginan perasaan semata. Tetapi sebenarnya, untuk menyempurnakan separuh agama, kita mengharapkan yang sempurna di hati bukan semata-mata sempurna di mata.

     Kita sedar akan kekurangan yang ada pada diri kita. Selaku manusia, kita lemah dan tidak sempurna. Begitu juga bakal pasangan kita. Jadi kita belajar untuk menerima. Lalu kita bersetuju untuk menerima dia sebagai pelengkap dalam episod kehidupan. Apakah orang yang berkahwin itu, pasangannya semua sempurna? Pasti tidak. Tetapi akad janji yang dilafazkan, sebagai tanda kita menerima dialah yang paling sempurna untuk kita.

     Bagaimana mahu mencari yang sempurna untuk kita? Bila hati kita mula menerima kesempurnaan yang ada pada seseorang seadanya. Itulah namanya jodoh. Bila anda mula bersedia untuk menerima kekurangan orang lain, anda mula tidak mempersoalkan banyak perkara tentang dirinya, dan anda mahu menerima dia seadanya. Itulah cinta. Dan itulah jodoh anda. Insan yang telah Allah tetapkan untuk anda semenjak di Luh Mahfuz.

     Kenapa sekarang tidak boleh bertolak-ansur dengan sikap, rupa paras, status kewangan atau kedudukan social, atau juga keperibadian seseorang yang datang melamar kamu? Kerana pastinya itu bukan jodoh kamu. Atau masih belum tiba masanya. Bila tiba masanya nanti, segalanya bukan menjadi persoalan besar. Dada kamu lapang menerimanya. Walau bukan immediately, tetapi suatu hari nanti akan juga bersedia untuk menerima.


     Jadi, bila ditanya apakah kamu sedang menunggu lelaki yang sempurna? Dengan yakin, saya jawab. Ya. Sempurna di hati saya. Sempurna yang telah Allah tetapkan bertepatan dengan kadar kesempurnaan saya. Bukan sempurna di kaca mata material manusia, tentunya. 

Tuesday, July 1, 2014

Read! And You can conquer the world..




Saya menulis artikel ini ketika di Bulan Ramadhan. Menikmati Bulan Mubarak di Kolej  Kediaman Universiti ketika cuti semester ternyata berbeza dibandingkan dengan rumah. Masa lapang dan orang sekeliling mencorakkan dalam tidak sedar. Target Ramadhan kali ini adalah meningkatkan pembacaan. Bukan semata-mata bacaan Al-Quran, tetapi juga buku-buku ilmiah. Aktiviti yang ditolak tepi sepanjang semester. Dicemburui oleh urusan akademik dan persatuan ditambah dengan tidak bijak membahagikan masa. Membaca buku-buku ilmiah sentiasa menjadi pilihan kedua. Ternyata, betapa manusia sentiasa berada dalam kerugian.

Memandangkan juga, hal ini sentiasa bermain-main di minda saya. Bagaimana mahu memupuk budaya membaca dalam diri. Saya bermula dengan menyoalkan diri saya, bagaimana saya boleh minat membaca. Dan kenapa orang lain seakan tidak tertarik dengan buku-buku yang saya begitu teruja untuk membacanya. Suka untuk saya jelaskan, saya minat membaca itu bukanlah bermakna membaca itu terbudaya dalam kehidupan saya. Terlalu banyak perkara lagi harus diusahakan untuk menjadikan membaca itu adalah sebahagian hidup saya dan saya hidup untuk terus membaca.

Cuma saya sedih sekali melihat seakan orang di sekeliling tidak begitu menunjukkan minat terhadap buku apatah lagi untuk membacanya. Jauh sekali untuk membudayakan baca itu dalam kehidupan seharian. Jadi, saya mula berfikir kenapa ini terjadi. Sedangkan orang di sekeliling saya, adalah orang-orang hebat yang bercita-cita besar. Mereka mahu mengubah dunia. Tidak ketinggalan saya. Tapi sayang, tidak rajin membaca. Kalau membaca sekalipun, mereka lebih terdorong untuk membaca bahan bacaan ringan. Yang mudah difahami, menyeronokkan, dan tidak mencabar. Atau bahan bacaan yang ditetapakan (baca: dipaksa) untuk mereka membaca. Contohnya, silibus usrah.

Sebelum kita ‘sembang’ lebih jauh. Saya merasa baik untuk kita berkenal-kenalan dulu dengan jenis-jenis buku yang ada. Jenis-jenis buku di sini kita klasifikasikan kepada; buku yang kita suka baca, buku yang tidak suka kita baca, buku yang kita perlu baca. Kita mula dengan buku yang kita suka baca. Kebanyakan dari kita pasti suka baca pelbagai jenis buku tersendiri. Kebanyakan typical man in Malaysian lebih suka membaca komik, novel cintan, majalah gossip, buku motivasi dan sebagainya. Kita tidak suka membaca buku-buku ilmiah yang mebincangkan tajuk yang lebih mencabar seperti ideologi dan pemikiran atau tajuk kaku seperti Sejarah. Tanpa kita sedari, buku yang kita tidak suka baca itulah buku yang perlu kita baca.

Jadi, soalan seterusnya akan timbul kenapa kita perlu baca dan bagaimana kita harus baca sedangkan kita tidak suka. Sangat membosankan, untuk mengadap lebih dari 10 minit buku yang penuh dengan tulisan semata-mata, berbincang tentang perkara yang tidak kita fahami. Oleh yang demikian, kita harus bermula dengan kenapa kita perlu membaca. Manusia sememangnya memerlukan triggers to enhance themselves doing something. Ada beberapa perkara yang saya rasakan mungkin boleh menjadi triggers kepada seseorang untuk membaca. Ini hanya pendapat dangkal dari rang yang malas membaca seperti saya.

Pertama, anda harus tahu, kenapa anda perlu membaca. Dr. Raghib Sirjani dalam bukunya, ‘Spiritual Reading’ menyebut, membaca ini bukan semata-mata minat atau hobi. Tetapi ia satu kewajipan. Nah, bila disebut wajib itu, anda tidak ada pilihan lain melainkan buat. Kenapa ia satu kewajipan? Bukankah wahyu pertama diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu adalah satu arahan agar KekasihNya membaca. Bacalah! Dan wahyu itu pastinya bukan khusus untuk Rasulullah SAW semata-mata tapi juga untuk kita, ummat Baginda. Apakah Kalamullah ini tidak mampu memaksakan otak dan otot-otot pejuang Islam untuk mengamalkannya? Ya, bacalah! Dengan nama tuhan-Mu yang menciptakan.

Kenapa Bacalah!? Kerana itu adalah kunci peradaban. Cuba kamu ambil masa, dan telusuri akan kisah ulama’ulama dan Muslim terdahulu. Selain dari tinggi ketaqwaan mereka kepada Allah, mereka terdiri dari pemikir-pemikir dan pakar dalam bidang masing-masin. Pastinya mereka tidak memperolehnya, melainkan dengan jalan menuntut ilmu dan membaca. Bukankah kalian bercita-cita besar untuk mengembalikan kegemilangan Islam di mata dunia? Tidak tahan melihat agama ini terus diinjak-injak? Maka, Bacalah! Masih, malah membaca? Lupakan cita-citamu itu. Sangat menjengkelkan mendengar laungan semangat perjuangan ketika di program, tetapi di satu sudut kamu malas membaca. Apa kamu fikir ummat ini akan bangkit hanya mendengar lolongan semangat gegak gempita kamu semata? Apa kamu fikir khilafah Islamiyyah itu akan kembali bertapak di tangan orang-orang malas dan dungu seperti kita. Maafkan saya, atas kekasaran bahasa. Cuma, saya sedikit meluat. Dengan diri sendiri, sejujurnya.

Seterusnya, banyaklah bertanya. Jangan mudah mempercaya. Elaklah mengikut saja. Bila kamu dengar pandangan-pandangan dari manusia lain. Hormatilah. Tapi, hormat tidak bermakna kamu mesti bersetuju, tidak juga bermakna kamu mesti terus percaya. Hormat yang dimaksudkan di sini, meraikan pandangan orang lain dan untuk anda mempercaya dan berpegang pada pandangan tersebut, mulakanlah dengan bertanya. Bertanya mereka dan bertanya diri sendiri. Betulkah begitu? Kenapa harus begitu? Bukankah ia begini? Lalu, soalan-soalan yang timbul di fikiran anda, namun tidak terluah ini akan menggerakkan anda untuk mengambil tahu lebih banyak. Kerana anda tidak akan mendapat kepuasa dengan hanya bertanya kepada tuan empunya pandangan. Anda akan bergerak mencari sendiri. Tidak lain tidak bukan. Dengan membaca. Lebih banyak membaca.

Contohnya, apabila orang mengatakan kepada anda bahawal liberal itu adalah menyesatkan. Anda tidak patut untuk terus membantah, tidak juga patut untuk terus menerima. Tetapi bergeraklah untuk bertanya liberal itu apa sebenarnya. Benarkah ia menyesatkan dan tidak selari dengan ajaran Islam? Point apakah yang menyebabkan ia sesat? Apakah langsung tiada titik persamaan? Atau mungkin ada pengertian yang berbeza dan lebih harmoni mengenainya? Soalan-soalan inilah yang akan menyebabkan anda teruja untuk tahu lebih banyak. Dan akhirnya, anda tidak ada pilihan lain. Melainkan dengan membaca. Seterusnya, jangan mengikat diri anda dengan satu pandangan semata-mata. Kerana penulis pastinya akan menulis berdasarkan pandangan masing-masing. Lalu, ini akan memaksa anda untuk terus membaca. Membaca pelbagai buku yang berbeza.

Ternyata, membaca akan membuatkan dunia anda lebih luas. Tidak terikat dan tidak terkurung dalam penjara pemikiran. Saying sekali jika anda memilih untuk mengikat diri anda dengan terlalu selektif dengan buku-buku yang anda baca. Baca buku. Dari pelbagai genre, dari bermacam tulisan. Jangan mudah percaya, dan jangan mudah mengikut saja. Banyaklah bertanya lalu berprinsiplah. Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!


Monday, May 26, 2014

Mahasiswa Bukan Robot?





Ain terjaga. Jam menunjukkan pukul 5.00 pagi. Dia segera bangun sambil berdoa dalam hati. Mengemas tempat tidur terus ke bilik air. Membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat sunat. Setelah selesai, dia gapai Al-Quran di atas meja. Cukup 2 helai. Dia tutup dan memeriksa jadual kuliah hari itu. Pastikan sia bersedia sedikit sebanyak sebelum kelas bermula. Dia gapai buku Sejarah Ummat Islam. Menyambung bacaan yang terbengkalai semalam sehingga azan subuh dari surau berkumandang. Segera dikejurkan temannya, lalu dia bersiap ke surau yang berdekatan.


Itu rutin harian. Jam 7.30 pagi, dia bergerak ke kelas. Kelas awal atau lambat, itu memang disiplinnya. Harus turun jam 7.30 pagi, dan pulang paling awal pukul 5.00 petang. Tidak kira masa kuliahnya. Hari ini dia bercadang mahu duduk di perpustakaan sampai ke malam. Ada beberapa isu yang menuntut kajian yang lebih mendalam. Dalam perjalanan ke perpustakaan, semua mahasiswa bergerak pantas, sempat senyum dan memberi salam sayup-sayup. Masing-masing ada tugas dan tanggungjawab. Alam mahasiswa bukan untuk disiakan. Itu prinsip mereka.

Kelas bermula dengan pelajaran Undang-Undang Perlembagaan dan Pengerusan Islam. Mereka belajar tentang bagaimana Perlembagaan di dalam Islam dan perbezaannya dengan Dunia Barat.. Seorang demi seorang masuk ke kelas. Lebih awal dari waktu kelas. Masing-masing tenggelam dengan bacaan masing. Ain mengerling teman-temannya. Seorang membaca buku tulisan John Locke, ada juga membelek-belek buku tulisan Dicey, dan berbagai buku lagi. Dia menyambung bacaannya, buku tulisan Abul A’la Al-Maududi.

Pensyarah masuk. Diskusi bermula. Seorang bangkit memberikan pandangan mewakili ilmuan Barat. Bagaimana Barat merangka perlembagaan mereka. Dan satu persatu bangun berhujah dan memberikan pandangan. Sama ada dari sudut pandang Barat atau Islam. Perbincangan tidak sahaja tertumpu dalam bidang perundangan, tapi berusaha mencakup bidang sosisal, ekonomi dan politik. Sama ada isu silam atau semasa. Akhirnya kami cuba untuk membuat konklusi, bagaimana seharusnya sebuah perlembagaan itu dirangka bagi memenuhi keperluan masyarakat yang dinamik kini. Ya, setiap kelas adalah perkongsian kepuasan. Itu yang Ain rasakan.

Semua orang akan melibatkan diri dalam diskusi, dan setiap diskusi tidak akan lari dari membincangkan cadangan-cadangan yang bersesuaian dengan masyarakat dan Negara. Kerana mereka mahasiswa, pemimpin masa hadapan. Mereka percaya, mereka seharusnya sudah mula berusaha untuk menjadi perungkai masalah masyarakat, Negara dan dunia mungkin. Kelas seterusnya bermula pukul 2.00 petang. Ain ada masa 3 jam sebelum kelas seterusnya. Bergerak keluar ke Pusat Kegiatan Pelajar. Hari ini Sudut Pidato membincangkan masalah ekonomi. Dengarnya tentang GST. Dia mahu mendengar ucapan dari teman-teman mahasiswa. Ekonomi bukan bidangnya. Di luar kemampuan untuk dia membuat kajian mendalam tentang masalah GST yang baru diperkenalkan kerajaan. Jadi, cara yang terbaik untuk tidak ketinggalan tentang isu semasa ini adalah di Pusat Kegiatan Pelajar.

Seorang mahasiswi dari Fakulti Ekonomi bangun memberikan ucapan. Hujahnya menolak GST. Atas bebrapa faktor hasil dari kajiannya bersama ahli kumpulan yang lain. Kajiannya meliputi masayarakat khusus di Malaysia. Mahasiswa seterusnya memberikan ucapan. Dia bersetuju dengan GST. Dia membawa contoh perlaksanaan di beberapa Negara dan hasilnya berjaya. Namun, dia membentangkan beberapa cadangan yang dirasakan perlu untuk diberi perhatian agar GST mampu dijalankan dengan baik di Malaysia.

Ain bergerak, melihat jam tangan. Matanya melilau melihat sekeliling. Dia terpandang pegawai dari Kementerian Kewangan sedang sibuk mencatit. Pegawai dari Kementerian akan sentiasa turun mendengar sudut pidato dari pelajar. Rugi sekali, kalau kerajaan terlepas cadangan-cadangan bernas untuk penambahbaikan dasar dan polisi kerajaan. Tidak kurang, kritikan matang dan penuh ilmiah dari mahasiswa sangat baik, sebagai alat semak dan imbang.

Ain bergerak meninggalkan Sudut Pidato. Berhenti di papan kenyataan. Melihat, kalau ada pengumuman baru atau hebahan program yang menarik. Bermacam-macam program dan aktiviti. Yang paling menarik perhatian adalah mahasiswa bersama masyarakat. Berbagai organisasi ditubuhkan oleh mahasiswa dengan bidang tugas yang berlainan. Tapi, semua dengan tujuan meringankan beban masyarakat dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.  Anak yatim, gelandangan, fakir miskin, buta huruf, Orang Kelainan Upaya dan pelabagai golongan masyarakat yang memerlukan bantuan menjadi sasaran organisasi-organisasi Mahasiswa. Dia memasukkan ke dalam Planner beberapa aktiviti yang menarik perhatian.

Beberapa poster program ceramah di surau dan balai masyarakat yang disampaikan oleh mahasiswa. Dia ketepikan. Ada urusan di kampus yang lebih menuntut, dia fikir. Cuma hasratnya, dia juga suatu hari nanti dan berkumpul bersama wanita di kampung-kampung untuk dia berkongsi hasil kepuasan menuntu ilmu.

Dia bergerak ke Kafe. Berkumpul dengan teman-teman dan makan bersama. Masing-masing menceritakan hasil diskusi kelas masing-masing. Ada yang memberi komentar tentang penyampaian di Sudut Pidato tadi. Jam 4.30 petang dia bergerak ke surau. Membaca Al-Quran dan Solat Asar. Kelas bermula seperti biasa, dan mereka menjadi ahli falasafah, penggubal dasar, arkitek, jurutera, ahli perniagaan dan bebrbagai karakter lagi di dalam kelas itu. Kerana kelas adalah ruang diskusi, semua orang diberi ruang untuk member pandangan dan harus bersedia menerima kritikan. Setiap pandangan pasti melalui kajian yang terperinci dan pembacaan yang meluas. Pandangan dan kritikan dari teman-teman akan menjadi penambahbaikan. Dan dari situ, semua orang belajar.

Kelas mereka bukan kelas burung kakak tua. Semata-mata membaca buku teks atau nota dari pensyarah. Tugasan yang diberikan pensyarah juga bukan hasi dari tiru dan tampal di internet. Tapi kajian masing-masing. Pensyarah juga member kuliah berdasarkan buku-buku pilihan dengan tajuk yang pelbagai. Pensyarah juga memberi kritikan, dan menambah maklumat-maklumat tambahan. Bukan semata-mata mengulang baca nota-nota yang ditayang di papan layar. Istimewanya institusi keilmuan ini. Mahasiswanya tidak bermalas-malasan. Masa kosong mereka tenggelam dengan pembacaan dan diskusi. Kerana mereka jelas sekali akan matlamat dan wawasan hidup masing-masing. Kecintaan kepada ilmu bukan dipandang perkara yang enteng. Pendidikan akhlak yang baik tidak pula ditolak tepi. Mereka percaya, mereka problem-solver masyarakat di luar sana. Pasti tidak pantas untuk mereka bersenang-lenang. Kerana mereka mahasiswa bukan robot.


Kelas tamat, dan Ain terus berjalan ke perpustakaan. Tiba-tiba dia terlanggar batu besar di jalan raya. Dia terjatuh. Dunianya terasa berputar.

Ain terjaga dari tidur. Dia bermimpi rupanya. Dan dia bangun di dunia realiti. Ternyata realitinya jauh berbeza sekali dari mimpi. Dengan lemah-longlai dia ke bilik air. Bersiap-siap ke kelas. Dimasukkan buku-buku ke dalam beg. Tiada satu pun yang telah habis dibaca. Dia ambil soalan Tutorial yang masih belum dijawab. Dia akan berjumpa mayat-mayat hidup di kampus sana. Dan dia salah seorang darinya. Sesampai di kelas, ada yang awal ada yang lewat. Yang awal bersembang. Ada yang siapkan soalan Tutorial, cukup syarat.


Tutorial bermula. Ayat-ayat buku diulang baca. Semua jadi burung kakak tua. Oh! Petang itu ada ujian. Semua teman-temannya ralit membaca selepas tamat Kelas Tutorial. Nanti pasti semua dimuntahkan lalu dilupakan. Baca untuk dapat markah. Begitulah gayanya. Habis ujian, terus makan, berbual-bual cerita gincu, gosip dan gaya fesyen. Lalu tidur. Dan hari yang sama berulang kembali. Itulah kehidupanku. Seorang mahasiswi di Universiti.





Thursday, February 6, 2014

Noktah-noktah pesan untuk bidadari

Tersenyum. Menerima kejutan demi kejutan dari senior. Jemputan di Facebook tak pernah putus-putus. Alhamdulillah. Moga penyatuan dua hati membawa seribu satu berkah dalam kehidupan menghambakan diri pada Dia, Tuhan Yang Esa. Nak cerita pasal Rumah orang Islam ke ni? (baca : Baitul Muslim)

Tidaklah. Masih jauh. Tanggungjawab masih banyak.. Sikap dan perangai masih tidak mana. Amal masih kurang. Apatah lagi ilmu dan kemahiran. Tidak perlu pergi jauh, tidak perlu gopoh-gapah. Kita selesaikan dulu marhalah pertama dalam 7 Maratib Amal itu. Individu Muslim.

Kisah keimanan wanita di zaman Rasulullah SAW, kisah kepahlawanan wanita di zaman sahabat dan para tabie, tabien, kisah pengaruh wanita dalam istana ketika zaman Khilafah Islamiyyah, telah tercatat dalam lipatan sejarah. Walaupun cerita tentang mereka sentiasa dijadikan watak sampingan dalam buku-buku sirah ataupun sedikit sekali catatan mengenai mereka, tapi itu cukup memberitahu kita. Kehadiran Hawa di sisi Adam tak pernah sia-sia. Ada peranannya, dan ada tanggungjawab tersendiri yang harus dimainkan oleh para wanita bersesuaian dengan kemampuan yang telah dikurniakan Tuhan kepada mereka.



Namun, di zaman globalisasi ini, ketika dunia berkiblatkan Barat, ternyata wanita Muslimah harus berusaha lebih. Musuh Islam berusaha dengan pelbagai cara untuk menghanyutkan para wanita Muslimah. Agar mereka lupa dengan tugas mereka. Agar mereka tidak ambil tahu akan peranan mereka yang sebenar. Pelbagai godaan disogokkan. Hiburan, Fesyen yang membelai-belai jiwa Muslimah. Sehinggakan mereka merasakan hidup ini, hanyalah untuk memuaskan nafsu sendiri. Berkejar-kejar dan berusaha untuk dilihat cantik dan kekal cantik. Ternyata, Barat berjaya memesongkan pemikiran kita semua akan hakikat cantik yang sebenarnya.

Duhai wanita Muslimah, tahukah kamu betapa besarnya perananmu? Kamu Hamba, kamu Ummat Baginda, kamu anak, kamu ahli masyarakat, kamu bakal isteri, kamu bakal ibu. Dan kamu antara pencorak dunia. Penyumbang ke arah kegemilangan atau kebinasaan ummah. Pastinya, kamu sudah punya pilihan, bukan?



Pertama, aku menyeru kamu agar menetapkan matlamatmu. Matlamat utama, adalah matlamat akhiratmu. Di mana kamu mahu ditempatkan. Di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Atau neraka yang penuh penyiksaan. Dalam redha atau dalam murka Tuhan.

Seterusnya, aku mengajakmu untuk sama-sama menetapkan matlatmu di dunia sementara yang hanya mainan dan sedan gurau ini. Apa mahumu. Penyumbang ke arah kebinassan atau kegemilangan ummah ini.

Seterusnya aku mengajakmu untuk berusaha mengubah duniamu dengan berusaha mengubah dirimu. Berubah untuk menjadi lebih baik. Dunia hari ini cukup mencabar duhai sahabatku. Kerana kini, masyarakat dunia ini, meletakkan kepantasan sebagai Tuhan mereka. Siapa yang lambat, mereka akan ketinggalan. Yang lemah akan diketepikan. Pastinya kamu tidak mahu kalah dalam perlumbaan ini. Bukankah matlamat akhirat dan dunia telah kamu tetapkan?
Di sini, aku gariskan pada mu, beberapa noktah ringkas. Noktah-noktah yang telah kamu ketahui dan dengari. Sama-sama kita beriltizam dengannya, dalam saki-baki masa yang tersisa.

Pertama, dalam bidang keilmuan. Kunci ummah ini adalah pada ilmu. Sejauh mana kamu mahu berlari, kamu harus bermula dengan tahu. Jangan biar ada masa yang lapang. Kerana wanita dan masa lapang itu petanda kecelakaan. Isi masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah yang membina. Mendengar atau menyampaikan nasihat yang bermanfaat. Berdiskusi dan bermusyawarah akan isu-isu seputar. Yang mampu mencerahkan jiwa dan mindamu. Tekuni ilmu di bidang pengajianmu. Sehingga kamu mahir dan pakar dalam pengkhususanmu. Agar buah fikiranmu itu nanti, mampu menjadi penyelesai masalah ummah.

Baja imanmu dengan amal yang salih. Susun harimu dengan amal ibadah. Ukurlah kemampuan. Biar sikit, tapi berusaha untuk istiqamah. Qiamullail, Munajat Harian, Solat Fardhu dan sunat. Moga ditunjukkan jalan yang paling benar dan ditetapkan langkah menuju kebenaran.

Asah kemahiran. Pilihlah di mana kecenderunganmu. Pengucapan awam, atau penulisan, atau persembahan, masakan, jahitan, komunikasi, lukisan, mengendalikan teknologi dan bermacam-macam lagi. Berusahalah untuk memiliki pelbagai kemahiran, kerana ummah yang tenat ini menuntut kamu akan hal-hal yang sulit, bukan sedikit.

Cakna isu kebajikan dan social. Ketika kamu mahu masyarakat mengenal Tuhan mereka, kamu harus buang berhala-berhala dalam hidup mereka. Bagi si miskin dan kaya, harta jadi berhala. Bagi yang lemah dan kuat, kuasa dan darjat jadi berhala. Turunlah pada mereka, rasai keperitan hidup mereka. Bantu mereka dengan kamu turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Agar mereka merasa, akan kerahmatan agama ini. Bukankah Islam itu membebaskan. Bukankah Islam itu Rahmat untuk seluruh semesta.

Di sini aku akhiri penulisan ini. Nota ini untuk kamu, wahai diriku. Nasihat dan pesan untuk kamu yang liat sekali mujahadah. Tetapkan matlamat dan teruskanlah langkah.





Masa sudah terlalu suntuk.

Muslimah, berusaha berubah untuk Ummah!





Pernah seorang Ustaz menyebut dalam ceramah beliau. Sukarnya menjadi wanita. Itu dan ini banyak yang tak kena. Banyak sungguh ujian. Saya tersenyum. Ya, sukar sekali. Itu baru jadi wanita. Bagaimana kalau mahu jadi wanita muslimah. Pasti bertambah sukar. Apatah lagi menjadi wantia muslimah yang solehah. Pasti bertambah-tambah payah. Di zaman penuh fitnah ini.

Rasulullah SAW  pernah bersabda:

Dari Abu Said Al-Khudri ra dari Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : ”Sesungguhnya dunia itu manis dan lazat, dan sesungguhnya Allah menitipkannya padamu, kemudian melihat bagaimana kamu menggunakannya. Maka hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, kerana fitnah pertama yang menimpa bani Israil disebabkan wanita”
(Hadis Riwayat Muslim)

Seterusnya Rasulullah SAW ada bersabda :

Dari Abdullah bin Amru katanya : Bersabda Rasulullah SAW : Dunia ini barang berguna (menyenangkan) dan barang berguna  yang paling baik ialah wanita solehah. [H.R. Muslim]





Rasulullah SAW telah memberi peringatan kepada kita dalam hadis yang pertama di atas. Akan besarnya kemudharatan yang boleh berlaku akibat dari fitnah wanita. Sehingga baginda mengingatkan agar ummat Baginda untuk berhati-hati akan fitnah darinya. Seterusnya Rasulullah SAW memujuk para wanita, memberuitahu mereka akan betapa istimewanya mereka jika mereka adalah wanita yang solehah. Sehinggakan jika dunia ini diibaratkan sebagai barang perhiasan, maka barang perhiasan yang terbaik adalah wanita yang solehah.

Sahabatku, banyak lagi Hadis Rasulullah SAW untuk kita semua. Sama ada dalam bentuk peringatan, nasihat dan pujukan. Betapa istimewanya wanita. Sehinggakan Allah mentakdirkan manusia pertama yang menerima seruan dakwah Rasulullah SAW, setelah baginda menerima wahyu yang pertama, adalah seorang wanita. Siapa lagi, kalau bukan ummul mukminan Khadijah binti Khuwailid.

Pasti kita telah hadam kisah perjalanan dakwah baginda. Bagaimana Ummul Mukminin Khadijah lah yang menjadi penghibur jiwa, pengubat duka, dan pembantu yang paling setia dalam membantu perjalanan dakwah Baginda. Apa yang tidak dikorbankan oleh Ummul Mukmini Khadijah untuk dakwah Islamiyyah. Sehinggakan kata-kata terakhir yang Ummul Mukminin ungkapkan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulang mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini.”

Mengalir air mata membaca kata-kata ini. Allahurobbi. Besar sungguh pengorbanan wanita pertama di sisi Utusan Allah ini. Pastinya tidak Allah aturkan perkara ini sia-sia. Sekadar menjadi cerita kenang-kenangan dalam lipatan sirah. Melainkan Dia tidak lain, sebagai pengajaran dan contoh teladan untuk kita semua, para wanita yang bercita-cita solehah.

Tahukah kalian, betapa besarnya erti keberadaan Ummul Mukminin dalam perjuangan Rasulullah SAW menegakkan syiar Islam. Sehingga tahun kematian Ummul Mukminin, dinamakan sebagai tahun kedukaan.

Sama-sama kita hayati luahan rasa Rasul Allah tentang isterinya yang tercinta:

”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku di saat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”.  [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Jadi pengajaran apa yang kita peroleh? Betapa pentingnya peranita yang solehah dalam perjuangan Dakwah Islamiyyah. Setuju?

Musuh-musuh Islam pasti menyedari hakikat ini. Pelbagai cara mereka gunakan untuk melemahkan wanita-wanita Islam. Bermula dengan gaya fesyen, isu feminism, hak asasi wanita, drama-drama dan muzik yang melalaikan, serta banyak lagi. Pelbagai rencana dijalankan demi melemahkan wanita-wanita agar lupa akan peranan mereka yang sebenar sebagai muslimah.

Namun, mereka tak sepenuhnya berjaya. Buktinya? Kita. Kita yang berjanji setia. Berjanji setia untuk hidup demi mendaulahkan kembali kalimah haqq di muka bumi Allah. Jadi, kita seharusnya berusaha untuk berbeza. Janji setia itu tak pernah menjadi ukuran apa-apa. Ia bukan ukuran kebaikan, mahupun tanda kesolehan. Melainkan, satu janji setia untuk kamu terus berusaha beriltizam membaiki diri agar mampu memenuhi ciri-ciri pejuang Islam yang sejati.

Ya, benar. Kita bukan baik. Banyak lemah dan kurangnya. Lalu, janji setia yang pernah dilafazkan bersama inilah yang meneguhkan langkah kita, mengingatkan dan menggesa agar kita perlu berusaha untuk berubah. Kuncinya, usaha. Usaha bersama. Kita juga pernah hanyut. Kita juga pernah melencong. Kita juga pernah tersalah langkah. Tapi, janji setia ini mengumpulkan kita bersama. Aku dan kamu. Kerana kita tidak mahu lagi tersalah langkah. Tidak ingin lagi masa yang ada tersia-sia.

Muslimat asset berharga ummah. Jom, perteguhkan barisan. Ada amanah yang terpikul di bahumu, duhai ibu pewaris kerja anbiya’. Terlalu banyak perkara yang harus kita baiki. Masih banyak kurang yang harus kita tambahkan. Masih ada sifat mazmumah yang kita harus basmi bersama. Banyak ilmu yang menuntut ketekunan. Serta, masih banyak ibadah yang harus kita amalkan. Namun sayang, masa tak banyak, kewajipan berganda.

Nota kaki dari luahan rasa Rasul Allah terhadap wanita pertama di sisi baginda.

1. Wanita itu pendamping setia seorang lelaki dalam gerak kerja Islam. Sebagai seorang teman sekerja, isteri dan juga seorang anak. Diserahkan jiwa dan perhatian seluruhnya untuk memudahkan urusan dakwah muslimin.

2. Bukan sekadar teman penghibur di kala duka, peneguh iman di kala kala lemah. Tapi, di juga orang yang pertama sanggup mengorbankan segala harta miliknya. Bukankah wanita itu fitrahnya, cinta akan kecantikan dan kebendaan? Tapi teladan yang ditunjukkan oleh Ummul Mukminin Khadijah, agar wanita solehah itu tidak mengikut telunjuk nafsu, dengan mengorbankan segenap kecintaan untuk dakwah Islam.

3. Wanita yang solehah itu ibu kepada zuriat-zuriat yang soleh. Dari rahimnya akan lahir, pewaris-pewari gerak kerja Anbiya'. Dan dari madrasah acuan dia lah akan lahir rijal dakwah di masa depan.

InShaa'Allah. Masih mahu menyia-nyiakan waktu? 




Sunday, January 26, 2014

Muslimah. Kata mereka dan Kata Aku.

Kata mereka..

Muslimat kurang berperanan.

Muslimat tidak terkehadapan.

Muslimat tidak berani bercakap di depan.

Muslimat harus jadi figur.

Muslimat lambat.

Muslimat begitu.

Muslimat begini.

Kenapa tak jadi macam dia tu?

Kenapa tiada yang begitu dan begini?

Terkedu seketika. Teruk benarkah? Apakah memang tiada fungsi? Apakah selama ini hanya melukut di tepi gantang? Apakah yang bergerak di atas bumi yang berputar selama ini hanya yang bernama lelaki?

Noktah. Bosan.

Semakin panas bila bicara terkait dengan Baitul Muslim (so-called). Kata mereka, muslimat di luar sana lebih digilai. Muslimat seharusnya ada nilai tambah.

Noktah. Malas.

Sesungguhnya saya percaya malah dengan sebenar-benar kepercayaan, saya mempercayai bahawa peranan muslimat sangat besar sekali. Kalau hari ini kita bercerita tentang ingin mengubah ummah, membina generasi pewaris Nabi yang lebih baik di masa depan. Pasti, peranan wanita tidak boleh dinafikan. Besar sekali peranannya.

Lihat saja tokoh-tokoh hebat di dunia. Siapa mereka, melainkan dikandungkan oleh seorang wanita. Walau nama wanita-wanita tersebut jarang sekali terukir dalam sejarah dan didedangkan di pentas bicara, tapi merekalah insan pertama untuk seorang manusia.

Lalu, bagaimana seharusnya wanita itu berperanan?

Apakah soalan ini patut ditanya kepada mereka yang suka berbicara gaya di atas? Atau perkara ini harus kita fikirkan bersama. Perkara apa yang dapat memuaskan hati mereka.

Noktah. Cukup.

Pernah datang soalan ke telinga dan bacaan. Muslimat bagaimana Muslimin mahukan? Terkedu. Bukan mereka yang patut ditujukan soalan ini! Tapi, seharusnya soalan itu begini. Muslimat bagaimana yang ummah perlukan. Bukan keinginan Muslimin yang patut anda puaskan. Tapi keperluan ummah yang harus anda perjuangkan.

Cukuplah sembang tentang so-called Baitul Muslim ini. Cukuplah merungut-rungut tentang taste Muslimin. Cukuplah menangisi nasib Muslimah yang masih belum dijemput jodoh. Cukuplah menghitung hari depan yang tak pasti.

Noktah. Sia-sia.

Hari ini dan nasib ummah ini, di tanganmu. Itu yang harus kamu perhalusi.

Jadi bagaimana seharusnya?

Kata aku.

Muslimah..

Tetapkan matlamat.

Pasakkan cita-cita. 

Keluarlah dari zon selesamu.

Cukuplah hidup kita-kita aje.

Bangkit dan bersegeralah.

Banyakkan membaca.

Kurangkan bicara yang sia-sia.

Hisab diri.

Rendahkan diri.

Luaskan pandangan.

Tingkatkan amal.

Buka minda.

Sentiasa bersedia.

Kurangkan angan.

Tuding dirimu bukan orang lain.

Jaga pandangan.

Kawal suara.

Lindungi maruah.

Tabir malu bertempat dan berpada.

Ceriakan hidupmu.

Keluarlah dari kepompong itu.

Bebaskan dirimu.

Sebarkan cinta.

Nasihat ini. Aku serah pada kalian untuk menafsirnya. Dan orang pertama yang aku nasihati adalah diriku. Sama-sama kita berusaha. Untuk ummah. Untuk masa depan Islam yang lebih baik.

Siru ‘ala barakatillah.



Muslimah Syria. Berjiwa Besarlah!