Saturday, December 1, 2012

Kita pengislah Ummah?



Saya sentiasa mengharap dan mengimpikan saya akan tetap menjadi puteri kecil mok dan ayoh. Puteri kecil mereka yang kuat menangis dan hanya akan berhenti bila diberi sudip dan periuk untuk jadi alat permainan. Mengetuk-ngetuk dengan gembira bersama kakak-kakak comel yang lain. Atau puteri kecil mereka yang sangat suka membaca buku-buku cerita. Dari kecil, sudah mengelek-ngelek buku-buku cerita penyiasatan Siri Salma dan Siri Hadi. Puteri Kecil mereka yang diajar membaca iqra’ dan rajin mengaji. Memeluk al-Quran besar ketika usia baru awal 6 tahun sambil menangis-nangis. Sungguh, saya sentiasa mengharapkan saya masih puteri kecil itu.

Tapi ternyata, realitinya takkan begitu. Saya semakin membesar. Membesar di tempat yang berbeza, bersama mereka yang berbeza dengan gaya kehidupan dan stail pemikiran yang berbeza. Sangat berbeza. Sejujurnya, mahu saja saya menyorok kerana ketakutan, kerana perbezaan-perbezaan ini sungguh memberi cabaran. Apatah lagi bila memikirkan apa yang akan terjadi di masa depan, ujian apa lagi yang akan dihadapkan, sejauh mana kekuatan saya?  Sehingga pernah suatu masa saya bertemu anak kecil, saya beritahu mereka “dik, dunia ini menakutkan, jangan pernah mahu jadi dewasa ya. Nikmati masa kecilmu ini..” Tentunya mereka takkan memamahami. Dan, hakikatnya menjadi dewasa atau tidak bukanlah pilihan kita.

Kehidupan anak-anak kecil pastilah sentiasa gembira. Mereka masih belum memahami apa yang berlaku di sekeliling, menjadikan tanggungjawab tak tergalas di pundak mereka. Apa yang mereka tahu, mereka akan buat apa saja yang dapat menggembirakan hati mereka. Berbeza dengan kita yang sedang menuju dewasa. Ditambah pula, dengan disogok pelbagai pengetahuan, lalu membentuk kesedaran ‘ummah ini sedang tenat, usia remaja bukan masa rehat tapi waktu untuk berpenat’. Apakah pantas saya masih mahu berfikiran keanakan dan mementingkan keseronokan sendiri? Menutup mata dengan kecelaruan ummah lalu mengulang-ulang  hidup seakan robot di kilang-kilang. Bangun, ke kuliah, siapkan assignments, group discussion dan tidur, begitulah esok dan hari seterusnya.

Lalu saya ini, yang mengaku ingin menjadi pengislah ummat seharusnya lebih serius mendidik diri. Menambah kekuatan antibodi bagi menjadi pertahanan menghadapi virus-virus jahiliyyah abad ini. Sebagaimana telah digariskan dan seharusnya dicitakan dalam diri kita semua, 7 Maratib Amal. Bermula dari individu Muslim, menuju Keluarga Muslim, seterusnya Masyarakat Muslim, seterusnya Kerajaan Islam, Daulah Islamiyyah dan Ustaziyatul Alam. Bagaimana Individu Muslim yang seharusnya dibentuk? Lalu, Muwasafat Tarbiyah dengan sepuluh sifat yang digariskan, seharusnya menjadi panduan.  Aqidah yang sejahtera, Ibadah yang sahih, Akhlak yang mantap, Luas pengetahuan, Bermanfaat untuk orang lain, Sihat Tubuh badan, Mampu berdikari, Menjaga masa, Tersusun urusannya. Sepatutnya sebagai seorang muslim yang bercita-cita melihat alam ini kembali dikuasai oleh muslim yang sebenar, menggenggam dengan bersungguh-sungguh keperibadian muslim ini dan berusaha membentuk diri dengannya.

Apakah mampu mencapai ketujuh-tujuh maratib amal ini dengan hanya memandang pada pembentukan individu muslim tanpa melihat dan meneliti maratib seterusnya. Percayalah, dengan kejelasan pengetahuan dan fikrah tentang tangga yang seterusnyalah mampu membentuk individu muslim yang lebih berkualiti. Berfikir, dan rancanglah masa depanmu. Who you will be, in the next ten years? 20 years?
Merancang masa depan adalah menjadi suatu kewajipan untuk seorang yang mengaku sebagai pejuang Islam. Ramai kini di antara kita, mengaku sebagai seorang pejuang di dalam kampus, melibatkan diri dengan urusan dakwah dan tarbiyyah tapi, langsung tidak memandang dan merancang apa yang akan berlaku hari esok. Sekadar membiarkan hari-hari mereka tercorak sendiri. Patutkah begitu? Apakah kita hanya mahu menjadi agen pengislah ummah di kampus ini sahaja, menjadikan kerja-kerja menyeru ini sebagai part-time dan akan resign apabila melangkah keluar dari universiti ini. Lalu sahabat, marilah mencorak masa depan. Sebelum berhajat mengislah ummat ini, islah lah diri ini dengan bersungguh-sungguh. Bercita-citalah untuk menjadi seorang hamba yang solehah, ummat yang penuh cinta, anak yang solehah, isteri solehah, ibu penyayang, sahabat sejati, ahli masyarakat yang mengambil berat, ahli ilmuan dan saudara yang cakna. Tinggalkanlah, saki-baki sikap jahiliyyah di tepi. Bergerak dan teruslah bergerak mendidik diri. Terlalu banyak masa yang telah kita siakan.

Angkat kepala dan lihatlah mereka di sekeliling. Apakah kita telah melakukan tugasan yang tergalas di pundak kita? Sejauh mana ummah ini telah terislah. Allah.. sampai detik ini, saya sendiri merasakan saya masih belum berbuat apa-apa. 

Wednesday, November 21, 2012

Aku, Kau, dan Korea..





“Ain…..!!! kau dah baca paper hari ni…?? Ya Allah, seronoknya..”

“Paper hari ni..? tak baca lagi, tak sempat nak beli. Kelas aku penuh hari ni.. kenapa, ada berita apa..?”

“Nah, kau tengok ni..” Mahera menyuakan akhbar Utusan kepada teman sebiliknya..

Aina pantas menyambut.

‘Konsert K-Pop Terbesar Bakal Melanda Negara’ terpampang di dada akhbar beserta gambar Kumpulan Shinee, salah satu kumpulan Korea yang terkenal. Dia membaca berita lanjutan di muka seterusnya.

Aina tersenyum.

Teman sebiliknya itu memang ‘kipas-susah-mati’ artis Korea. Dari drama, filem, ataupun tarian dan nyanyian. Semuanya jadi kegilaan Mahera. Gambar artis-artis Korea ditampal di kebanyakan barang miliknya.

“Ain, senyum je..? ish.. ni lah akibatnya salah pilih orang nak share happiness.. aku lupa, room mates aku ni budak surau. Memanglah tak happy dengan konsert-konsert segala bagai ni..”

“Hahaha.. Mahera, kau perli aku nampak. Kenapa pulak aku tak happy dengan benda-benda yang buat kau happy. Tapi, aku tak laratlah nak jerit-jerit atau pinjam mikrofon JKA nak buat announcement pasal ni..?”

“Huhuhu.. tahu pun. Bila dah kena smash, pandai pulak renspons.. Ain, aku ingat aku nak pergilah konsert ni. Peluang seumur hidup ni. Mesti aku akan nyesal sampai mati kalau tak gi konsert ni..”

“Habis tu, mana kau nak korek duit..? paling murah pun seratus lebih harga tiket. Boleh buat belanja makan setengah bulan tau..”

“Ain.. 6 November ni kan duit PTPTN dah masuk.. apa lagi, cucuk je lah..”

“Mahera, Mahera..” Ain menggelengkan kepala.

Mehera tersenyum kepuasan. Dia merasa terlalu seronok dengan rancangan terbarunya. Ain hanya mengerling seketika sambil menyambung tugasannya. Ada assignment yang perlu dihantar esok. Tapi hatinya tetap tidak tenang. Ada yang terbuku di hati.

Ain memandang Mahera sekali lagi. Teragak-agak untuk membuka mulut. Tapi hati kecilnya tetap mendesak.. ‘Mahera, aku sayangkan kau..’

Mahera perasan akan renungan Ain padanya. “kau ni apasal..? Ade hutang ke duk tenung-tenung aku macam tu..?”

Ain tersenyum dan menarik nafas panjang. Dia sudah biasa dengan percakapan kasar teman sebiliknya itu.
“Tak adelah, saje nak tanya kau.. sejak bila kau minat Korea ni ye..?”

“Minat Korea ni..? sejak bila..? sejak dalam perut mak aku lagi.. hahaha. Tak adelah.. sejak aku sekolah menengah dulu. Semua budak pompuan sekolah aku ‘gila’kan Korea. Rugilah kalau aku tak joinkan. Tak syoklah kalau diorang sembang pasal movie, aku terkebil-kebil je.. so, aku layan lah jugak movie-movie tu.. tapi, tak sangka pulak boleh jadi gila macam ni. Huhuhu..”

“Kenapa korang minat sangat dengan Korea ye..?”

“Alaaah, kau ni, sembang macam tak pernah layan Korea.. hahaha. orang minat Korea sebab mamat Korea ni kiut, hensem.. cerita dia sweet. Lagu-lagu dia best, style diorang pun cantekk..”

“Aku tak adelah, ‘kipas-susah-mati’. Tengok kejap-kejap teman kau bolehlah..”

Masing-masing terdiam seketika. Mahera terus menyambung kerjanya men’google’ berita terkini tentang artis Korea yang diminatinya.

“Mahera, aku bukan nak menyibuk hal kau.. macam yang aku bagitahu tadi, aku akan happy dengan apa jua benda yang buat kau happy. Sebab aku sayang kau. Tapi, aku lagi happy kalau benda yang buat kau happy hari ni, boleh buat buat kau happy sampai bila-bila..”

“Kau tak payah nak belit-belit dengan aku Ain.. kalau nak buka tazkirah jalanan cakap je lah.. aku tak kisah pun..”

Ain tesenyum..

“Mahera, aku tahu kau minat sangat Korea ni.. aku pun tak kisah nak teman kau layan Korea ni kejap-kejap. Tapi, sebagai kawan, hari-hari aku perhatikan kau.. aku rasa, kena ingatkan juga”

Ain menyambung..

“Hidup kita tak lama, Mahera.. Bila-bila masa sahaja Allah boleh jemput kita jumpa dengan Dia. Sebab tu, ummat Islam sangat mementingkan keutamaan dalam setiap perbuatannya. Sebab dia tahu, walaupun sekecil-kecil perkara pun nanti, Allah akan hitung dan hisab di akhirat. Tambahan pula, masa muda. Kau pun tahu kan, salah satu soalan Allah pada hambaNya di akhirat kelak, bagaimana dia menggunakan masa muda. Kita tak mahu jawab pada Allah nanti, kita gunakan masa muda ni dengan perkara yang tak besar kemanfaatannya.. sedangkan, sebagai umat Islam di akhir zaman, kita ada banyak sangat tanggungjawab..”

Ain mengerling Mahera untuk melihat reaksi teman sebiliknya.. ‘Mahera, kerana cinta, walaupun berat, aku terpaksa teruskan kata-kata ni..’

Mahera hanya memandang kosong komputer ribanya. Lalu, Ain menyambung.

“Aku membebel kat kau ni, bukan bermakna nak halang kau tengok terus cerita Korea. Tapi, aku takut kau terlalu taksub dengan Korea. Minta maaf awal aku cakap, aku mungkin boleh terima lagi kalau kau nak tengok drama, filem semua tu. Tapi, kalau nak pergi konsert, aku takut Mahera.. dengan percampuran antara lelaki dan perempuan. Pakaian penari dan penyanyi yang sangat seksi, semua tu boleh rosakkan fikiran remaja Islam macam kita. Sebagai ummat Islam, kau jangan pernah lupa  kita sekarang ni diserang dari pelbagai sudut. Mereka akan guna apa jua peluang untuk meracuni pemikiran remaja Islam agar kita lalai dan lupa tanggungjawab kita yang sebenar. Natijahnya, kita lupa dan langsung tak ambil tahu pun isu-isu ummat Islam kat luar sana. Isu Rohingya yang semakin tenat, Syria dan Palestin yang tak sudah-sudah. Kalau kita yang hidup senang lenang ni, habiskan masa dengan cerita Korea, dan macam-macam hiburan yang ada. Siapa lagi yang akan cakna isu, dan bantu diorang.. Mahera, kau marahkan aku, ke..?”

Mahera tersenyum tawar..

“Huhu.. kenapalah aku nak marah orang yang cakap benda baik kat aku.. aku bukannya tak terfikir semua tu. Tapi, aku tak tahu macam mana. Aku bukan macam kau. Siang malam keluar pergi program itu ini. Kalau kau ada kat bilik pun, kau tak pernah miss solat tahajjud dan baca quran. Aku pun nak jugak jadi macam kau. Tapi, mungkin sebab banyak sangat dosa aku. Aku rasa tak ade kekuatan nak buat semua tu secara istiqamah. Aku rasa lagi seronok layan cerita Korea. Dan aku rasa, aku bukannya budak baik-baik nak baca isu-isu pasal Palestin, Syria dan Rohingya tu..”

“Mahera, mana boleh macam tu.. bila mana kita bergelar Muslim, segala urusan ummat Islam lain turut jadi urusan kita juga.. sekarang ni, dah jadi kewajipan untuk kita ambil tahu. Kau tahu, isu saudara-saudara kita Rohingya sangat tenat. Diorang kena bunuh, dan sekarang ni tak de tempat tinggal yang selamat. Kat Syria pun, pihak Bashar Assad masih tak hentikan serangan. Sedih, kalau kau baca-baca cerita diorang.. kat Malaysia ni, senang sangat. Kalau remaja-remaja kat sana sibuk menghitung hari, bila lagi boleh hidup sebab nyawa diorang selalu terancam, kita ni pula sibuk hitung hari, bilalah nak Konsert Korea.. hehe, aku gurau je dengan kau.”

“Hahaha, Ain.. Ain.. aku tak kisah pun. Betul ape yang kau cakap tu.. tapi, kau ingat senang ke nak tinggalkan kegilaan aku. Tu lah kau, awal-awal kau sebilik dengan aku, kau tak buat pulak tazkirah jalanan ni.. lama dah aku tunggu. Balik-balik kau senyum, kadang-kadang kau join aku jugak tengok cerita Korea, walaupun kau tak minat.. hahaha.”

“Aduh, Mahera.. aku bukan tak suka buat tazkirah jalanan ni.. tapi taknaklah tembak-tembak rambang. Kira adillah, kan.. kadang-kadang aku join kau tengok Korea, ada masa kau join aku tengok video Ustaz Azhar.. kalau kau tak pasang lagu Korea, aku pasang ceramah Tok Guru kuat-kuat. Huhu.. aku sayang kau, Mahera..”

Mahera menjelir lidah.. “Aku tak sayang kau, pon..”

 “Cop.. Ain. Kira aku tak boleh tengok terus ke Korea ni…?”

“Kau boleh ke, kalau tak tengok terus..?” Ain bertanya sambil mengangkat keningnya..

Mahera menggaru tengkuknya..

“Bukan tak boleh, tapi kurangkanlah.. utamakan yang utama. Ummat Islam ni, tanggungjawabnya banyak. Tu, pergi buka folder laptop aku.. banyak sangat video-video tazkirah. Rakaman MP3 pun ade.. kalau nak buku, kau buka locker aku, ada-ada macam buku, yang sebenarnya jadi kewajipan untuk kita semua baca. Sirah Nabi, Aqidah Islamiyyah..”

“Alaah kau ni, nak suruh aku jadi ustazah ke..?”

“hahaha.. Mahera, Mahera. Bila bergelar muslim, walaupun tak jadi ustazah, kita memang kena mantapkan ilmu pasal agama ni..”

Ain tersenyum lalu dia memeluk Mahera.

“Apesal kau ni..”

“Ni sebab aku sayang kau..”

Mahera memabalas pelukan Ain.

“Aku pun sayang kau..”

Tiba-tiba Mahera teringat..

“Ain.. kira cancel lah, aku nak gi konsert Korea ni..?”

“Entah, mana aku tahu, kau rasa..?”

“Haha.. baik aku belanja kau makan.. “

“Yang tu memang aku setuju..”

Indah bukan, kalau mampu menyeru agar lebih rami turut merasa... ^^




Sukarnya menggapai SOLEHAH itu..


sumber gambar : inernet

“Husna, sukar benar kan, mahu menggapai solehah di sisi Tuhan..”

“Semestinya, perkara yang berharga takkan semudahnya kita akan peroleh.. sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Jadi, untuk memilikinya ada harga yang perlu dibayar.. kerana mulianya kedudukannya. sebab itulah tak ramai yang mampu menggapainya. Mungkin ramai yang berusaha ke arahnya, tapi ramai juga yang berhenti sekerat jalan. Atau ada yang melencong, dan memilih jalan lainnya..”

“Benarlah, kerana solehah itu bukan hanya pada nama. Bukan juga hanya pada pakaian, bukan jua pada ayu wajah, mahupun ucapan. Tidak juga hanya pada kelembutan, tapi wanita solehah lebih dari itu. Sucinya, pada zahir dan batin..” [mengeluh]

“Aiih.. mengeluh..?? sudah penat mengejar solehah kah..?”

[Tersenyum] “Kalau dibenarkan istilah penat dalam hidup seorang mukmin, sudah lama mahu penat. Sudah lama, mahu berputus asa. Mahu duduk bersila. Mahu saja, merasa cukup dengan apa adanya kini.. Enti, menggapai solehah, kenapa sukar benar ya..? ”

“Emm.. Ya Tuhan, apa yang bermain dalam fikiran sahabat ana ini ya.. benar, aku tak mengerti..”

“Ha3.. tak adalah, tak terniat pun nak berteka-teki. Cuma ingin menghitung diri. Bukankah itu pesanan Saidina Umar. Tak salah bukan, untuk mengamalkannya sentiasa.”

“tentulah, masakan salah.. tapi, ana kenal benar enti.. bila dikata menghitung diri itu, bukan sewenangnya. Tentu ada kisah di sebaliknya. Ada sesuatu yang bermain di fikiran enti.. kongsilah, boleh jadi tazkirah untuk diri ini juga.”

“enti, kita semua mengimpikan solehah. Darjat tertinggi seorang muslimah. Darjat yang dicemburui bidadari rupawan di syurga. Mengimpikannya ternyata mudah.
Saban hari, di laman Facebook, tak putus-putus ana membaca status-status solehah dari mereka yang mengimpikan solehah itu. Itu cerita mereka.
Begitu juga kita.. kita usahakan solehah itu. Kita sarungkan pakaian labuh ini menghijab badan. Walaupun bukan jadi pilihan fesyen terkini. Tak mengapa, kita benar merasa selesa dan selamat. Sebagaimana dalam Surah anNur, dengan pakaian labuh ini lah kita akan dikenali sebagai wanita yang baik-baik. Akan terlindung dari mereka yang berpenyakit hatinya. Alhamdulillah..
Lalu, kita jaga rapi percakapan dan perlakuan kita. Agar benar bersesuaian dengan uniform muslimah ini. Takut nanti, dikatakan tak padan dengan pakaian yang tersarung. Adab dan sopan, malahan kita titik beratkan.. alhamdulillah.
Banyak perkara yang kita beri perhatian, agar kita tidak  menjadi asbab fitnah kepada uniform muslimah ini..”

“Ya..  moga kita terus istiqomah.”

“kita tentunya memilih untuk istiqamah. Tak mahu dikata, muslimah on-off. Takut nanti, hilang thiqahnya.. alhamdulillah, kita semua dikenal sebagai wanita yang baik-baik. Dihormati oleh muslimin dan muslimat.. lalu, adakah kita telah benar solehah?”

“Solehah bukan pada ukuran kita..”

“Tepat sekali, kerana solehah bukan ukuran kita sebagai manusia yang lemah ini lah, buat ana merasa terlebih sukarnya menggapai solehah. Kadang-kadang kita seakan terlupa atau buat-buat lupa bahawa solehah ini persembahan kepada Tuhan, bukan kepada manusia semata. Kalau manusia sudah benar mengagumi kelembutan dan keayuan seorang muslimah. Membicarakan solehah nya muslimah itu, kerana istiqamah benar dia menjaga pakaian, perbuatan mahupun percakapan. Walaupun dunia dan seisinya, telah membicarakannya, misi menggapai solehah masih belum selesai.. malah, mungkin menjadi semakin rumit..”

“Emm, menjadi semakin rumit..? bukankah, kita semakin menghampiri solehah itu? “

 “Tentunya menjadi semakin rumit.. kita terkadang telah tertipu. Husna, ana sedang menghitung hati sendiri.. ujian demi ujian, benar-benar menguji. Buat ana semakin lemah mengejar solehah. Pujian demi pujian pula, buat ana semakin lemas. Kalau dulu jalannya cuma satu, penuh berduri. Tapi semakin jauh ana berjalan, rupanya jalan ini bukan hanya satu,  banyak pula cabangnya, malahan durinya tak pula berkurang. Ana terkeliru.. Solehah bagaimanakah yang diimpikan Tuhan..?”

“Humaira’, kisahkan padaku, cerita hatimu..”

“Baiklah, ana tahu enti sedang pening dengan kiasan ana. Ini cerita hati ana.. ana takut dan sedih mendengar pujian-pujian manusia. Seakan semua tu menjadi penambah beban menuju pada solehah di sisi Dia. takut andai Allah tarik keikhlasan dan Dia lencongkan jiwa ana ini, untuk meletakkan keredhaan manusia lebih utama. Astaghfirullah, teruk sungguh ana. Ana tak layak menggelar diri sebagai muslimah. Apatah lagi, mengimpikan darjat solehah. Ana jadi malu benar pada Allah, pada zahirnya, di mata manusia mereka mungkin melihat ana baik, tapi mungkin ini semua hanya bertopengkan jilbab dan jubah yang ana sarung setiap hari.
Sedangkan pernah dikisahkan, seorang muslimah sanggup mengorek matanya, bila ada seorang lelaki memuji keindahan matanya. Tapi ana..? malahan, semakin tidak pandai menjaga diri. Kalau pada zahirnya, benarlah ana malu untuk berbuat maksiat. Tapi bagaimana dengan maksiat hati, merasa suka dan senang bila dpuji, tidak tegar menjaga pandangan mata, mulut ringan menyebut nama lelaki mahupun mengkisahkan tentang mereka, telinga menadah cerita-cerita muslimin. Hati ana benar-benar tak tenang dengan semua ini. Hati dan minda yang berkhayal, bagaikan seenaknya, memberi peluang pada hati untuk berzina. Husna, hati ini benar-benar sedang menderita. Dia seakan merayu pada ana untuk disucikan kembali.

Subhanallah, sukar benar mengejar solehah. Tika diri sibuk membaiki dan mendidik diri. Terdengar suara-suara mengagumi, mata-mata yang memuja. Terlarut seketika dengan lautan pujian yang melemaskan. Allah.. hati ana terlalai dengan semua tu. Hinggakan, ana takut mungkinkah niat ana berbuat baik, beramal dan bekerja ini telah tersasar..? pujian mereka kah yang ana harapkan.. ana seakan meletak tepi, redha dan rahmat Allah. Manusia seakan lebih besar pengaruhnya di hati. Ya Allah, maafkan hambaMu, andai amalnya hari ini kerana manusia-manusia lemah itu.
Bodohnya ana, dalam menempatkan asbab. Benarlah bodoh ana, jika ana terus biarkan diri ana terlarut dengan semua fitnah dunia ini..

Husna, sukar benar menggapai solehah, kan.. dalam usaha mendidik diri, begini pula Allah uji. terkadang ana mengharapkan, ana mahu saja tak terlihat di mata manusia. Biar baiknya ana, hanya persembahan untuk Tuhan. Buruknya ana, kerana lemahnya ana sebagai hamba Tuhan.
Bukan seperti kini, niat yang tersasar. Baiknya ana, persembahan untuk manusia. Bila manusia memuji, semakin galak beramal. Bila ada yang mengeji, pantas saja amal dikendurkan. Tak terasa langsung keikhlasan dalam beramal!

Husna, ana cemburu dengan muslimah lainnya. Hebat benar mereka menjaga hati.

Husna, ana malu dengan Allah. Entah apa bekal yang boleh dibawa pada hari pertemuan denganNya nanti. Takut, saat di dunia ini lagi Allah telah melempar segala amal ke muka ana, ibarat kain buruk kotor yang busuk.. sedangkan, ana kini tak mengetahui, sedang selesa dan merasa senang hati. Merasa diri baik dan solehah, dengan pujian manusia sekeliling.. Malaikat yang mempersembahkan amal kepada Allah saban hari, tentunya tak mampu memberitahu ana. Andai  ana mampu berinteraksi dengan mereka, mungkinkah saban hari mereka akan memberitahu ana, “wahai jiwa yang benama Humaira', amalmu hari ini tak diterima Tuhan, kerana kamu beramal bukan keranaNya. Tapi amalmu ini semua dengan harapan kepada pujian manusia semata-mata..” bagaimana juga nanti, ana seharusnya bersua dengan Nabi SAW di akhirat..?”

“Humaira’, jangan begitu.. Jangan pernah lupa pesanan Syeikh Zainul Asri. Katanya, sifat riya’ dan senang bila dipuji  itu, memang akan sentiasa hadir. Namun, kitalah yang seharusnya pantas ‘mengetuk’ sifat mazmumah itu dari merosakkan amalan kita. Permulaan rasa riya’ itu, adalah terbitan dari syaitan, sebab itulah kita harus menyegerakan dan memperbanyakkan istighfar. Menginsafi diri, betapa pada hakikatnya kita sangat lemah dan penuh keaiban. Bila manusia memuji, kembalikan pujian pada Allah, kerana tidak ada yang selayakanya menerima pujian melainkan hanya Dia.

Jangan sekali-kali biarkan hati hanyut dengan pujian dan sanjungan manusia. Kerana sekali terhanyut, sukar benar untuk kembali ke pinggiran. Humaira', kuatkan ikatan hubunganmu dengan Tuhan. Jangan sesekali meletakkan Dia di tepi. Biar ke mana pun kamu pergi, apa jua yang kamu lakukan, sentiasa berhubung terus dengan Allah. Kita lemah sahabat.. tak ada kekuatan. Melainkan hanya Dia.”

Husna memeluk bahu Humaira’ yang terhenjut-henjut menahan tangisan. Inilah peranan sahabat. Walaupun Humaira’ sangat dikagumi oleh sahabat-sahabat kerana kelincahannya berpencak di pentas dakwah, ada masa dia punya waktu lemah dan memerlukan mutiara hikam dari seorang sahabat sejati. Semua tu, tak membuatkan Husna memandang rendah Humaira’, malahan merasa sungguh bersyukur kerana dia diberi peluang untuk berkongsi kekuatan milik Tuhan dengan seorang srikandi dakwah ini.

Humaira’ mengesat air mata dengan jilbab labuhnya sambil tersenyum memandang Husna..

“Terima kasih, enti..”

'Ya Allah, sayang sungguh aku pada sahabat ini.. Kau redhailah dia, Kau cintailah dia. Ampuni segala dosanya, di masa lalu, di masa sekarang dan di masa akan datang. Kau pinjamkanlah dia kekuatan..'

Tiada hadiah terbesar dalam perjuangan menggapai solehah ini, melainkan bila Allah menghadiahkan sahabat2 sejati yang sudi berkongsi kekuatan.. Bagaimana dengan kita?  Di manakah kita meletakkan darjat diri dalam persahabatan? Moga Allah memberi kelapangan dada dan jauh dari hasad dengki. ^^

Sukarnya menggapai solehah, namun segalanya menjadi mudah bersama mereka yang turut ingin mengejar solehah. 

Indahnya, kalau lebih ramai turut merasa..



Tuesday, November 20, 2012

=Sekadar Permulaan=


Segala puji padaNya.. Selawat dan Salam pada junjunganNya.
Sebenarnya, telah lama hati menggesa untuk serius berblog. Tapi, atas dasar pelbagai alasan yang direkacipta maka, segala usaha ditangguhkan.  Teruslah aku bahagia dan tenang dengan alasan-alasan itu.
Sehingga lah pada suatu waktu, aku tersedar dan seolah-olah hati menegur. Apa yang telah kamu buat untuk agama ini..? Termenung dan menyedari. Ya..! aku tak berbuat apa-apa. Pengecut dan kedekut untuk menyampaikan kalimah mulia dan haq ini.
Apa lagi yang kumampu. Hati menegur, agar lebih bersungguh bekerja, memaksimumkan penggunaan masa dan kemampuan diri.. Ya, serahkan segalanya untuk agama ini. Kita sememangnya lemah. Mohonlah kekuatan. Jangan kerana rasa diri lemah, rendah dan tak banyak menyumbang ini, bawa kita makin jauh dari jalan ini. Wa nau’uzubillah.
Aku tahu aku memang tak mampu menyumbang banyak. Tapi, kerana cinta dan hidayahNya pada hamba hina ini, membawa aku untuk terus menetapkan kaki di jalan ini.
Aku rindu Rasulullah SAW, aku rindu Allah. Sangat ingin bertemu mereka dengan persembahan yang terbaik dalam pertemuan yang terindah. Tapi hakikat lemahnya diri yang ada waktu lemas dengan tipudaya dunia buat aku kadang-kadang buta, pekak dan bisu.
Kerana rindu yang turun naik ini, aku sangat ingin sekali agar mereka yang lain turut merasa.. Betapa indahnya hidup bila hati hanya mengharapkan pada Yang Maha Kuasa. Betapa bermakna hidup jika hari-hari menghitung  pertemuan dengannya dalam majlis-majlis ilmu, dan kerja-kerja menyeru.
Bila Dia yang utama.. Agama ini tak akan sanggup diduakan.