Thursday, February 6, 2014

Noktah-noktah pesan untuk bidadari

Tersenyum. Menerima kejutan demi kejutan dari senior. Jemputan di Facebook tak pernah putus-putus. Alhamdulillah. Moga penyatuan dua hati membawa seribu satu berkah dalam kehidupan menghambakan diri pada Dia, Tuhan Yang Esa. Nak cerita pasal Rumah orang Islam ke ni? (baca : Baitul Muslim)

Tidaklah. Masih jauh. Tanggungjawab masih banyak.. Sikap dan perangai masih tidak mana. Amal masih kurang. Apatah lagi ilmu dan kemahiran. Tidak perlu pergi jauh, tidak perlu gopoh-gapah. Kita selesaikan dulu marhalah pertama dalam 7 Maratib Amal itu. Individu Muslim.

Kisah keimanan wanita di zaman Rasulullah SAW, kisah kepahlawanan wanita di zaman sahabat dan para tabie, tabien, kisah pengaruh wanita dalam istana ketika zaman Khilafah Islamiyyah, telah tercatat dalam lipatan sejarah. Walaupun cerita tentang mereka sentiasa dijadikan watak sampingan dalam buku-buku sirah ataupun sedikit sekali catatan mengenai mereka, tapi itu cukup memberitahu kita. Kehadiran Hawa di sisi Adam tak pernah sia-sia. Ada peranannya, dan ada tanggungjawab tersendiri yang harus dimainkan oleh para wanita bersesuaian dengan kemampuan yang telah dikurniakan Tuhan kepada mereka.



Namun, di zaman globalisasi ini, ketika dunia berkiblatkan Barat, ternyata wanita Muslimah harus berusaha lebih. Musuh Islam berusaha dengan pelbagai cara untuk menghanyutkan para wanita Muslimah. Agar mereka lupa dengan tugas mereka. Agar mereka tidak ambil tahu akan peranan mereka yang sebenar. Pelbagai godaan disogokkan. Hiburan, Fesyen yang membelai-belai jiwa Muslimah. Sehinggakan mereka merasakan hidup ini, hanyalah untuk memuaskan nafsu sendiri. Berkejar-kejar dan berusaha untuk dilihat cantik dan kekal cantik. Ternyata, Barat berjaya memesongkan pemikiran kita semua akan hakikat cantik yang sebenarnya.

Duhai wanita Muslimah, tahukah kamu betapa besarnya perananmu? Kamu Hamba, kamu Ummat Baginda, kamu anak, kamu ahli masyarakat, kamu bakal isteri, kamu bakal ibu. Dan kamu antara pencorak dunia. Penyumbang ke arah kegemilangan atau kebinasaan ummah. Pastinya, kamu sudah punya pilihan, bukan?



Pertama, aku menyeru kamu agar menetapkan matlamatmu. Matlamat utama, adalah matlamat akhiratmu. Di mana kamu mahu ditempatkan. Di dalam syurga yang penuh kenikmatan. Atau neraka yang penuh penyiksaan. Dalam redha atau dalam murka Tuhan.

Seterusnya, aku mengajakmu untuk sama-sama menetapkan matlatmu di dunia sementara yang hanya mainan dan sedan gurau ini. Apa mahumu. Penyumbang ke arah kebinassan atau kegemilangan ummah ini.

Seterusnya aku mengajakmu untuk berusaha mengubah duniamu dengan berusaha mengubah dirimu. Berubah untuk menjadi lebih baik. Dunia hari ini cukup mencabar duhai sahabatku. Kerana kini, masyarakat dunia ini, meletakkan kepantasan sebagai Tuhan mereka. Siapa yang lambat, mereka akan ketinggalan. Yang lemah akan diketepikan. Pastinya kamu tidak mahu kalah dalam perlumbaan ini. Bukankah matlamat akhirat dan dunia telah kamu tetapkan?
Di sini, aku gariskan pada mu, beberapa noktah ringkas. Noktah-noktah yang telah kamu ketahui dan dengari. Sama-sama kita beriltizam dengannya, dalam saki-baki masa yang tersisa.

Pertama, dalam bidang keilmuan. Kunci ummah ini adalah pada ilmu. Sejauh mana kamu mahu berlari, kamu harus bermula dengan tahu. Jangan biar ada masa yang lapang. Kerana wanita dan masa lapang itu petanda kecelakaan. Isi masa dengan membaca bahan-bahan ilmiah yang membina. Mendengar atau menyampaikan nasihat yang bermanfaat. Berdiskusi dan bermusyawarah akan isu-isu seputar. Yang mampu mencerahkan jiwa dan mindamu. Tekuni ilmu di bidang pengajianmu. Sehingga kamu mahir dan pakar dalam pengkhususanmu. Agar buah fikiranmu itu nanti, mampu menjadi penyelesai masalah ummah.

Baja imanmu dengan amal yang salih. Susun harimu dengan amal ibadah. Ukurlah kemampuan. Biar sikit, tapi berusaha untuk istiqamah. Qiamullail, Munajat Harian, Solat Fardhu dan sunat. Moga ditunjukkan jalan yang paling benar dan ditetapkan langkah menuju kebenaran.

Asah kemahiran. Pilihlah di mana kecenderunganmu. Pengucapan awam, atau penulisan, atau persembahan, masakan, jahitan, komunikasi, lukisan, mengendalikan teknologi dan bermacam-macam lagi. Berusahalah untuk memiliki pelbagai kemahiran, kerana ummah yang tenat ini menuntut kamu akan hal-hal yang sulit, bukan sedikit.

Cakna isu kebajikan dan social. Ketika kamu mahu masyarakat mengenal Tuhan mereka, kamu harus buang berhala-berhala dalam hidup mereka. Bagi si miskin dan kaya, harta jadi berhala. Bagi yang lemah dan kuat, kuasa dan darjat jadi berhala. Turunlah pada mereka, rasai keperitan hidup mereka. Bantu mereka dengan kamu turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Agar mereka merasa, akan kerahmatan agama ini. Bukankah Islam itu membebaskan. Bukankah Islam itu Rahmat untuk seluruh semesta.

Di sini aku akhiri penulisan ini. Nota ini untuk kamu, wahai diriku. Nasihat dan pesan untuk kamu yang liat sekali mujahadah. Tetapkan matlamat dan teruskanlah langkah.





Masa sudah terlalu suntuk.

No comments:

Post a Comment