Saturday, November 22, 2014

CINTA YANG DIPAKSA


Ini kisah cinta yang dipaksa.



Qurratu A’yuni mengeluh lagi. Penat barangkali. Namun, langkah kaki diteruskan. Bimbang ada yang menanti. Dia benci sekali. Kalau dia angkara mesyuarat persatuan lambat bermula. Tapi hari ini, dia tersasar sungguh. Kelas tamat lewat dari biasa, disusuli perbincangan bersama teman-teman sekumpulan. Dia tahu, dia kelewatan. Dan dia tidak sepatutnya begitu. Langkah dilajukan. Sesampai di bilik mesyuarat. Khali.  Sunyi. Sendiri. Bingung seketika. Mana mungkin tiada yang sudah tiba. Dia melihat waktu di telefon bimbit pintarnya. Sudah pukul 3.15 petang. Janji mesyuarat bermula pukul 3.00 petang. A’yuni tersenyum memujuk diri. Bukankah situasi begini sudah biasa, entah kenapa hari ini dia harus hairan. Dia mengambil tempat di hujung meja. Tidak berminat untuk di hadapan. Biar yang berkelayakan saja.
Seorang demi seorang masuk memenuhi bilik mesyuarat. Roman wajah usaha untuk dimaniskan. Cuba bertanya khabar dan sedikit berceloteh. Menyimpan kemas rasa yang terpendam. Biar dipujuk sendiri. Tepat jam 4.00 petang, mesyuarat bermula. Dan, diingatkan sekali lagi, sebelumya dijanjikan mula pukul 3.00 petang. Semua ahli sibuk. Dan A’yuni dipaksa unyuk memahami. 45 minit dia menunggu. Mungkin ini yang dimaksudkan mewakafkan masa di jalan Allah. Mesyuarat rancak sekali. Berbincang tentang perancangan, aktiviti dan strategi persatuan mereka. Tidak lain tidak bukan, untuk mengizzahkan agama di bumi kampus. Biar biah Islamiyyah sentiasa terjaga. Bimbang dicerobohi anasir jahiliyyah. Berungguh sekali seorang demi seorang memberi pandangan. A’yuni, hanya setia memerhati. Entah, dia jadi kelu. Dia pengecut. Dia penakut. Kecut melontarkan idea dan takut memberi pandangan. Sedangkan mindanya ligat sekali bekerja mencerna patah demi patah teman sejawatan. Bukan dia tidak mengerti. Tetapi, dia tiada hati, dan tidak berani. Persoalan bermain di kotak minda. Dia ketepikan saja.
Tamat mesyuarat, mereka berbual mesra tentang isu sekeliling. Merungut tentang pentadbiran yang giat berusaha untuk memesongkan pelajar kepada budaya jahiliyyah. Mengherdik pelajar kampus yang tidak cakna. Hebat sekali. A’yuni meminta izin untuk mengundur diri. Ada hal lain mahu diselesaikannya segera. Padahal emosi dan rasionaliasi sendiri yang penat dan bingung. Pulang saja ke kolej kediaman, A’yuni tidur dalam kepenatan. Bersama angan mahu mebaca, mahu menyiapkan tugasan, mahu merangka aktiviti persatuan. Semuanya tenggelam dalam angan dan mimpi.
Pukul 7.30 malam. Terkocoh-kocoh dia bangun. Selesai saja solat Maghrib, tidak pula disentuh Al-Quran. Walaupun hatinya terpanggil benar. A’yuni memilih untuk termenung. Terasa berat sekali fikirannya. Memikirkan itu dan ini. Banyak sekali dia tidak faham, dengan sikap manusia berjiwa besar di sekelilingnya. Dia masih ingat lagi, ketika dia mengadu kepada seorang akhawat tentang masanya yang suntuk. Terpaksa berbagi, untuk kerja dakwah, persatuan dan pelajaran sendiri. Kerja dakwah harus didahulukan, pelajaran jangan dilupakan. Kata mereka.
Selaku pelajar jurusan undang-undang. Dia ada timbunan kes, artikel dan jurnal yang harus dicerna isinya. Untuk masa yang berbagi, dia mengemis sedikit faham dari akhawat lain, untuk memberinya ruang. Agar pelajarannya dapat dihadam. tapi bukan faham yang diperoleh, malah akhawat pantas membalas. Jangan jadikan pelajaran sebagai alasan untuk tidak mejalankan kerja dakwah. Kata akhawat itu, sesiapa yang menolong Allah, Allah akan menlong dia. Dibawakan kepada A’yuni contoh-contoh insan cemerlang, yang kurang hadam mata pelajaran tapi masih mendapat keputusan pepriksaan yang memuaskan. Nah, betapa benar sekali janji Allah. Tinggal kita, harus percaya. Sekali lagi persoalan bermain di kotak minda. Tapi, A’yuni ketepikan saja.
Akhirnya, A’yuni memujuk diri. Mungkin saja dia yang kurang percaya. Tidak yakin dengan janji Allah. Kurang berusaha. Tidak memaksimakan penggunaan masa, dan banyak meminta rehat. Dia akhirnya memilih untuk mengikut saja. Kerja dakwah didahulukan, pelajaran tidak boleh jadi alasan. Walaupun seribu ketidakpuasan bertamu. Dia diamkan saja. disangka Iblis la’natullah yang tidak senang melihat kesungguhanya dalam gerak kerja dakwah lalu berusaha menghasut.
Dan hari demi hari berganti. Kasus, artikel dan jurnal undang-undang dipandang sepi. Pepustakaan juga bukan lagi jadi pilihan untuk persinggahan. Kerja berkumpulan untuk setiap mata pelajaran disiapkan di celah dan hujung waktu. Antara kerja dakwah dan rehat. Biar asal siap. Jangan dikata orang, cukuplah. Buku-buku ilmiah yang dibeli hanya jadi hiasan di rak buku. Namun, mesyuarat, usrah, tamrin, dan rehlah A’yuni akan tetap hadir tanpa gagal. Walau mindanya bosan mendengar pengisian yang sama, fizikalnya penat dengan masalah yang berulang. Dia teguhkan jiwa. Kerana kehadirannya ke semua aktiviti yang disusun, merupakan tanda aras kesetiaan kepada kumpulan dan pimpinannya. Dan itulah yang kumpulan dakwahnya harapkan. Ahli yang medengar kata, ahli yang tidak punya masalah peribadi, ahli yang suci dari noda dosa, ahli yang tidak menyoal dan membangkang. Tetap beristiqamah di jalan dakwah.
            Dan ini kisah cinta yang dipaksa.

No comments:

Post a Comment