Tuesday, July 1, 2014

Read! And You can conquer the world..




Saya menulis artikel ini ketika di Bulan Ramadhan. Menikmati Bulan Mubarak di Kolej  Kediaman Universiti ketika cuti semester ternyata berbeza dibandingkan dengan rumah. Masa lapang dan orang sekeliling mencorakkan dalam tidak sedar. Target Ramadhan kali ini adalah meningkatkan pembacaan. Bukan semata-mata bacaan Al-Quran, tetapi juga buku-buku ilmiah. Aktiviti yang ditolak tepi sepanjang semester. Dicemburui oleh urusan akademik dan persatuan ditambah dengan tidak bijak membahagikan masa. Membaca buku-buku ilmiah sentiasa menjadi pilihan kedua. Ternyata, betapa manusia sentiasa berada dalam kerugian.

Memandangkan juga, hal ini sentiasa bermain-main di minda saya. Bagaimana mahu memupuk budaya membaca dalam diri. Saya bermula dengan menyoalkan diri saya, bagaimana saya boleh minat membaca. Dan kenapa orang lain seakan tidak tertarik dengan buku-buku yang saya begitu teruja untuk membacanya. Suka untuk saya jelaskan, saya minat membaca itu bukanlah bermakna membaca itu terbudaya dalam kehidupan saya. Terlalu banyak perkara lagi harus diusahakan untuk menjadikan membaca itu adalah sebahagian hidup saya dan saya hidup untuk terus membaca.

Cuma saya sedih sekali melihat seakan orang di sekeliling tidak begitu menunjukkan minat terhadap buku apatah lagi untuk membacanya. Jauh sekali untuk membudayakan baca itu dalam kehidupan seharian. Jadi, saya mula berfikir kenapa ini terjadi. Sedangkan orang di sekeliling saya, adalah orang-orang hebat yang bercita-cita besar. Mereka mahu mengubah dunia. Tidak ketinggalan saya. Tapi sayang, tidak rajin membaca. Kalau membaca sekalipun, mereka lebih terdorong untuk membaca bahan bacaan ringan. Yang mudah difahami, menyeronokkan, dan tidak mencabar. Atau bahan bacaan yang ditetapakan (baca: dipaksa) untuk mereka membaca. Contohnya, silibus usrah.

Sebelum kita ‘sembang’ lebih jauh. Saya merasa baik untuk kita berkenal-kenalan dulu dengan jenis-jenis buku yang ada. Jenis-jenis buku di sini kita klasifikasikan kepada; buku yang kita suka baca, buku yang tidak suka kita baca, buku yang kita perlu baca. Kita mula dengan buku yang kita suka baca. Kebanyakan dari kita pasti suka baca pelbagai jenis buku tersendiri. Kebanyakan typical man in Malaysian lebih suka membaca komik, novel cintan, majalah gossip, buku motivasi dan sebagainya. Kita tidak suka membaca buku-buku ilmiah yang mebincangkan tajuk yang lebih mencabar seperti ideologi dan pemikiran atau tajuk kaku seperti Sejarah. Tanpa kita sedari, buku yang kita tidak suka baca itulah buku yang perlu kita baca.

Jadi, soalan seterusnya akan timbul kenapa kita perlu baca dan bagaimana kita harus baca sedangkan kita tidak suka. Sangat membosankan, untuk mengadap lebih dari 10 minit buku yang penuh dengan tulisan semata-mata, berbincang tentang perkara yang tidak kita fahami. Oleh yang demikian, kita harus bermula dengan kenapa kita perlu membaca. Manusia sememangnya memerlukan triggers to enhance themselves doing something. Ada beberapa perkara yang saya rasakan mungkin boleh menjadi triggers kepada seseorang untuk membaca. Ini hanya pendapat dangkal dari rang yang malas membaca seperti saya.

Pertama, anda harus tahu, kenapa anda perlu membaca. Dr. Raghib Sirjani dalam bukunya, ‘Spiritual Reading’ menyebut, membaca ini bukan semata-mata minat atau hobi. Tetapi ia satu kewajipan. Nah, bila disebut wajib itu, anda tidak ada pilihan lain melainkan buat. Kenapa ia satu kewajipan? Bukankah wahyu pertama diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu adalah satu arahan agar KekasihNya membaca. Bacalah! Dan wahyu itu pastinya bukan khusus untuk Rasulullah SAW semata-mata tapi juga untuk kita, ummat Baginda. Apakah Kalamullah ini tidak mampu memaksakan otak dan otot-otot pejuang Islam untuk mengamalkannya? Ya, bacalah! Dengan nama tuhan-Mu yang menciptakan.

Kenapa Bacalah!? Kerana itu adalah kunci peradaban. Cuba kamu ambil masa, dan telusuri akan kisah ulama’ulama dan Muslim terdahulu. Selain dari tinggi ketaqwaan mereka kepada Allah, mereka terdiri dari pemikir-pemikir dan pakar dalam bidang masing-masin. Pastinya mereka tidak memperolehnya, melainkan dengan jalan menuntut ilmu dan membaca. Bukankah kalian bercita-cita besar untuk mengembalikan kegemilangan Islam di mata dunia? Tidak tahan melihat agama ini terus diinjak-injak? Maka, Bacalah! Masih, malah membaca? Lupakan cita-citamu itu. Sangat menjengkelkan mendengar laungan semangat perjuangan ketika di program, tetapi di satu sudut kamu malas membaca. Apa kamu fikir ummat ini akan bangkit hanya mendengar lolongan semangat gegak gempita kamu semata? Apa kamu fikir khilafah Islamiyyah itu akan kembali bertapak di tangan orang-orang malas dan dungu seperti kita. Maafkan saya, atas kekasaran bahasa. Cuma, saya sedikit meluat. Dengan diri sendiri, sejujurnya.

Seterusnya, banyaklah bertanya. Jangan mudah mempercaya. Elaklah mengikut saja. Bila kamu dengar pandangan-pandangan dari manusia lain. Hormatilah. Tapi, hormat tidak bermakna kamu mesti bersetuju, tidak juga bermakna kamu mesti terus percaya. Hormat yang dimaksudkan di sini, meraikan pandangan orang lain dan untuk anda mempercaya dan berpegang pada pandangan tersebut, mulakanlah dengan bertanya. Bertanya mereka dan bertanya diri sendiri. Betulkah begitu? Kenapa harus begitu? Bukankah ia begini? Lalu, soalan-soalan yang timbul di fikiran anda, namun tidak terluah ini akan menggerakkan anda untuk mengambil tahu lebih banyak. Kerana anda tidak akan mendapat kepuasa dengan hanya bertanya kepada tuan empunya pandangan. Anda akan bergerak mencari sendiri. Tidak lain tidak bukan. Dengan membaca. Lebih banyak membaca.

Contohnya, apabila orang mengatakan kepada anda bahawal liberal itu adalah menyesatkan. Anda tidak patut untuk terus membantah, tidak juga patut untuk terus menerima. Tetapi bergeraklah untuk bertanya liberal itu apa sebenarnya. Benarkah ia menyesatkan dan tidak selari dengan ajaran Islam? Point apakah yang menyebabkan ia sesat? Apakah langsung tiada titik persamaan? Atau mungkin ada pengertian yang berbeza dan lebih harmoni mengenainya? Soalan-soalan inilah yang akan menyebabkan anda teruja untuk tahu lebih banyak. Dan akhirnya, anda tidak ada pilihan lain. Melainkan dengan membaca. Seterusnya, jangan mengikat diri anda dengan satu pandangan semata-mata. Kerana penulis pastinya akan menulis berdasarkan pandangan masing-masing. Lalu, ini akan memaksa anda untuk terus membaca. Membaca pelbagai buku yang berbeza.

Ternyata, membaca akan membuatkan dunia anda lebih luas. Tidak terikat dan tidak terkurung dalam penjara pemikiran. Saying sekali jika anda memilih untuk mengikat diri anda dengan terlalu selektif dengan buku-buku yang anda baca. Baca buku. Dari pelbagai genre, dari bermacam tulisan. Jangan mudah percaya, dan jangan mudah mengikut saja. Banyaklah bertanya lalu berprinsiplah. Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!


1 comment:

  1. Accidentally, jumpa blog ainun. hehe :) jemput follow blog saya - Tg Nor Syazana

    ReplyDelete