Thursday, February 6, 2014

Muslimah, berusaha berubah untuk Ummah!





Pernah seorang Ustaz menyebut dalam ceramah beliau. Sukarnya menjadi wanita. Itu dan ini banyak yang tak kena. Banyak sungguh ujian. Saya tersenyum. Ya, sukar sekali. Itu baru jadi wanita. Bagaimana kalau mahu jadi wanita muslimah. Pasti bertambah sukar. Apatah lagi menjadi wantia muslimah yang solehah. Pasti bertambah-tambah payah. Di zaman penuh fitnah ini.

Rasulullah SAW  pernah bersabda:

Dari Abu Said Al-Khudri ra dari Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : ”Sesungguhnya dunia itu manis dan lazat, dan sesungguhnya Allah menitipkannya padamu, kemudian melihat bagaimana kamu menggunakannya. Maka hati-hatilah terhadap dunia dan hati-hatilah terhadap wanita, kerana fitnah pertama yang menimpa bani Israil disebabkan wanita”
(Hadis Riwayat Muslim)

Seterusnya Rasulullah SAW ada bersabda :

Dari Abdullah bin Amru katanya : Bersabda Rasulullah SAW : Dunia ini barang berguna (menyenangkan) dan barang berguna  yang paling baik ialah wanita solehah. [H.R. Muslim]





Rasulullah SAW telah memberi peringatan kepada kita dalam hadis yang pertama di atas. Akan besarnya kemudharatan yang boleh berlaku akibat dari fitnah wanita. Sehingga baginda mengingatkan agar ummat Baginda untuk berhati-hati akan fitnah darinya. Seterusnya Rasulullah SAW memujuk para wanita, memberuitahu mereka akan betapa istimewanya mereka jika mereka adalah wanita yang solehah. Sehinggakan jika dunia ini diibaratkan sebagai barang perhiasan, maka barang perhiasan yang terbaik adalah wanita yang solehah.

Sahabatku, banyak lagi Hadis Rasulullah SAW untuk kita semua. Sama ada dalam bentuk peringatan, nasihat dan pujukan. Betapa istimewanya wanita. Sehinggakan Allah mentakdirkan manusia pertama yang menerima seruan dakwah Rasulullah SAW, setelah baginda menerima wahyu yang pertama, adalah seorang wanita. Siapa lagi, kalau bukan ummul mukminan Khadijah binti Khuwailid.

Pasti kita telah hadam kisah perjalanan dakwah baginda. Bagaimana Ummul Mukminin Khadijah lah yang menjadi penghibur jiwa, pengubat duka, dan pembantu yang paling setia dalam membantu perjalanan dakwah Baginda. Apa yang tidak dikorbankan oleh Ummul Mukmini Khadijah untuk dakwah Islamiyyah. Sehinggakan kata-kata terakhir yang Ummul Mukminin ungkapkan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulang mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini.”

Mengalir air mata membaca kata-kata ini. Allahurobbi. Besar sungguh pengorbanan wanita pertama di sisi Utusan Allah ini. Pastinya tidak Allah aturkan perkara ini sia-sia. Sekadar menjadi cerita kenang-kenangan dalam lipatan sirah. Melainkan Dia tidak lain, sebagai pengajaran dan contoh teladan untuk kita semua, para wanita yang bercita-cita solehah.

Tahukah kalian, betapa besarnya erti keberadaan Ummul Mukminin dalam perjuangan Rasulullah SAW menegakkan syiar Islam. Sehingga tahun kematian Ummul Mukminin, dinamakan sebagai tahun kedukaan.

Sama-sama kita hayati luahan rasa Rasul Allah tentang isterinya yang tercinta:

”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepadaku disaat orang-orang mengingkariku. Dia membenarkanku di saat semua orang mendustakanku. Dan dia membantuku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dariku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”.  [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Jadi pengajaran apa yang kita peroleh? Betapa pentingnya peranita yang solehah dalam perjuangan Dakwah Islamiyyah. Setuju?

Musuh-musuh Islam pasti menyedari hakikat ini. Pelbagai cara mereka gunakan untuk melemahkan wanita-wanita Islam. Bermula dengan gaya fesyen, isu feminism, hak asasi wanita, drama-drama dan muzik yang melalaikan, serta banyak lagi. Pelbagai rencana dijalankan demi melemahkan wanita-wanita agar lupa akan peranan mereka yang sebenar sebagai muslimah.

Namun, mereka tak sepenuhnya berjaya. Buktinya? Kita. Kita yang berjanji setia. Berjanji setia untuk hidup demi mendaulahkan kembali kalimah haqq di muka bumi Allah. Jadi, kita seharusnya berusaha untuk berbeza. Janji setia itu tak pernah menjadi ukuran apa-apa. Ia bukan ukuran kebaikan, mahupun tanda kesolehan. Melainkan, satu janji setia untuk kamu terus berusaha beriltizam membaiki diri agar mampu memenuhi ciri-ciri pejuang Islam yang sejati.

Ya, benar. Kita bukan baik. Banyak lemah dan kurangnya. Lalu, janji setia yang pernah dilafazkan bersama inilah yang meneguhkan langkah kita, mengingatkan dan menggesa agar kita perlu berusaha untuk berubah. Kuncinya, usaha. Usaha bersama. Kita juga pernah hanyut. Kita juga pernah melencong. Kita juga pernah tersalah langkah. Tapi, janji setia ini mengumpulkan kita bersama. Aku dan kamu. Kerana kita tidak mahu lagi tersalah langkah. Tidak ingin lagi masa yang ada tersia-sia.

Muslimat asset berharga ummah. Jom, perteguhkan barisan. Ada amanah yang terpikul di bahumu, duhai ibu pewaris kerja anbiya’. Terlalu banyak perkara yang harus kita baiki. Masih banyak kurang yang harus kita tambahkan. Masih ada sifat mazmumah yang kita harus basmi bersama. Banyak ilmu yang menuntut ketekunan. Serta, masih banyak ibadah yang harus kita amalkan. Namun sayang, masa tak banyak, kewajipan berganda.

Nota kaki dari luahan rasa Rasul Allah terhadap wanita pertama di sisi baginda.

1. Wanita itu pendamping setia seorang lelaki dalam gerak kerja Islam. Sebagai seorang teman sekerja, isteri dan juga seorang anak. Diserahkan jiwa dan perhatian seluruhnya untuk memudahkan urusan dakwah muslimin.

2. Bukan sekadar teman penghibur di kala duka, peneguh iman di kala kala lemah. Tapi, di juga orang yang pertama sanggup mengorbankan segala harta miliknya. Bukankah wanita itu fitrahnya, cinta akan kecantikan dan kebendaan? Tapi teladan yang ditunjukkan oleh Ummul Mukminin Khadijah, agar wanita solehah itu tidak mengikut telunjuk nafsu, dengan mengorbankan segenap kecintaan untuk dakwah Islam.

3. Wanita yang solehah itu ibu kepada zuriat-zuriat yang soleh. Dari rahimnya akan lahir, pewaris-pewari gerak kerja Anbiya'. Dan dari madrasah acuan dia lah akan lahir rijal dakwah di masa depan.

InShaa'Allah. Masih mahu menyia-nyiakan waktu? 




No comments:

Post a Comment