Monday, May 26, 2014

Mahasiswa Bukan Robot?





Ain terjaga. Jam menunjukkan pukul 5.00 pagi. Dia segera bangun sambil berdoa dalam hati. Mengemas tempat tidur terus ke bilik air. Membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat sunat. Setelah selesai, dia gapai Al-Quran di atas meja. Cukup 2 helai. Dia tutup dan memeriksa jadual kuliah hari itu. Pastikan sia bersedia sedikit sebanyak sebelum kelas bermula. Dia gapai buku Sejarah Ummat Islam. Menyambung bacaan yang terbengkalai semalam sehingga azan subuh dari surau berkumandang. Segera dikejurkan temannya, lalu dia bersiap ke surau yang berdekatan.


Itu rutin harian. Jam 7.30 pagi, dia bergerak ke kelas. Kelas awal atau lambat, itu memang disiplinnya. Harus turun jam 7.30 pagi, dan pulang paling awal pukul 5.00 petang. Tidak kira masa kuliahnya. Hari ini dia bercadang mahu duduk di perpustakaan sampai ke malam. Ada beberapa isu yang menuntut kajian yang lebih mendalam. Dalam perjalanan ke perpustakaan, semua mahasiswa bergerak pantas, sempat senyum dan memberi salam sayup-sayup. Masing-masing ada tugas dan tanggungjawab. Alam mahasiswa bukan untuk disiakan. Itu prinsip mereka.

Kelas bermula dengan pelajaran Undang-Undang Perlembagaan dan Pengerusan Islam. Mereka belajar tentang bagaimana Perlembagaan di dalam Islam dan perbezaannya dengan Dunia Barat.. Seorang demi seorang masuk ke kelas. Lebih awal dari waktu kelas. Masing-masing tenggelam dengan bacaan masing. Ain mengerling teman-temannya. Seorang membaca buku tulisan John Locke, ada juga membelek-belek buku tulisan Dicey, dan berbagai buku lagi. Dia menyambung bacaannya, buku tulisan Abul A’la Al-Maududi.

Pensyarah masuk. Diskusi bermula. Seorang bangkit memberikan pandangan mewakili ilmuan Barat. Bagaimana Barat merangka perlembagaan mereka. Dan satu persatu bangun berhujah dan memberikan pandangan. Sama ada dari sudut pandang Barat atau Islam. Perbincangan tidak sahaja tertumpu dalam bidang perundangan, tapi berusaha mencakup bidang sosisal, ekonomi dan politik. Sama ada isu silam atau semasa. Akhirnya kami cuba untuk membuat konklusi, bagaimana seharusnya sebuah perlembagaan itu dirangka bagi memenuhi keperluan masyarakat yang dinamik kini. Ya, setiap kelas adalah perkongsian kepuasan. Itu yang Ain rasakan.

Semua orang akan melibatkan diri dalam diskusi, dan setiap diskusi tidak akan lari dari membincangkan cadangan-cadangan yang bersesuaian dengan masyarakat dan Negara. Kerana mereka mahasiswa, pemimpin masa hadapan. Mereka percaya, mereka seharusnya sudah mula berusaha untuk menjadi perungkai masalah masyarakat, Negara dan dunia mungkin. Kelas seterusnya bermula pukul 2.00 petang. Ain ada masa 3 jam sebelum kelas seterusnya. Bergerak keluar ke Pusat Kegiatan Pelajar. Hari ini Sudut Pidato membincangkan masalah ekonomi. Dengarnya tentang GST. Dia mahu mendengar ucapan dari teman-teman mahasiswa. Ekonomi bukan bidangnya. Di luar kemampuan untuk dia membuat kajian mendalam tentang masalah GST yang baru diperkenalkan kerajaan. Jadi, cara yang terbaik untuk tidak ketinggalan tentang isu semasa ini adalah di Pusat Kegiatan Pelajar.

Seorang mahasiswi dari Fakulti Ekonomi bangun memberikan ucapan. Hujahnya menolak GST. Atas bebrapa faktor hasil dari kajiannya bersama ahli kumpulan yang lain. Kajiannya meliputi masayarakat khusus di Malaysia. Mahasiswa seterusnya memberikan ucapan. Dia bersetuju dengan GST. Dia membawa contoh perlaksanaan di beberapa Negara dan hasilnya berjaya. Namun, dia membentangkan beberapa cadangan yang dirasakan perlu untuk diberi perhatian agar GST mampu dijalankan dengan baik di Malaysia.

Ain bergerak, melihat jam tangan. Matanya melilau melihat sekeliling. Dia terpandang pegawai dari Kementerian Kewangan sedang sibuk mencatit. Pegawai dari Kementerian akan sentiasa turun mendengar sudut pidato dari pelajar. Rugi sekali, kalau kerajaan terlepas cadangan-cadangan bernas untuk penambahbaikan dasar dan polisi kerajaan. Tidak kurang, kritikan matang dan penuh ilmiah dari mahasiswa sangat baik, sebagai alat semak dan imbang.

Ain bergerak meninggalkan Sudut Pidato. Berhenti di papan kenyataan. Melihat, kalau ada pengumuman baru atau hebahan program yang menarik. Bermacam-macam program dan aktiviti. Yang paling menarik perhatian adalah mahasiswa bersama masyarakat. Berbagai organisasi ditubuhkan oleh mahasiswa dengan bidang tugas yang berlainan. Tapi, semua dengan tujuan meringankan beban masyarakat dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.  Anak yatim, gelandangan, fakir miskin, buta huruf, Orang Kelainan Upaya dan pelabagai golongan masyarakat yang memerlukan bantuan menjadi sasaran organisasi-organisasi Mahasiswa. Dia memasukkan ke dalam Planner beberapa aktiviti yang menarik perhatian.

Beberapa poster program ceramah di surau dan balai masyarakat yang disampaikan oleh mahasiswa. Dia ketepikan. Ada urusan di kampus yang lebih menuntut, dia fikir. Cuma hasratnya, dia juga suatu hari nanti dan berkumpul bersama wanita di kampung-kampung untuk dia berkongsi hasil kepuasan menuntu ilmu.

Dia bergerak ke Kafe. Berkumpul dengan teman-teman dan makan bersama. Masing-masing menceritakan hasil diskusi kelas masing-masing. Ada yang memberi komentar tentang penyampaian di Sudut Pidato tadi. Jam 4.30 petang dia bergerak ke surau. Membaca Al-Quran dan Solat Asar. Kelas bermula seperti biasa, dan mereka menjadi ahli falasafah, penggubal dasar, arkitek, jurutera, ahli perniagaan dan bebrbagai karakter lagi di dalam kelas itu. Kerana kelas adalah ruang diskusi, semua orang diberi ruang untuk member pandangan dan harus bersedia menerima kritikan. Setiap pandangan pasti melalui kajian yang terperinci dan pembacaan yang meluas. Pandangan dan kritikan dari teman-teman akan menjadi penambahbaikan. Dan dari situ, semua orang belajar.

Kelas mereka bukan kelas burung kakak tua. Semata-mata membaca buku teks atau nota dari pensyarah. Tugasan yang diberikan pensyarah juga bukan hasi dari tiru dan tampal di internet. Tapi kajian masing-masing. Pensyarah juga member kuliah berdasarkan buku-buku pilihan dengan tajuk yang pelbagai. Pensyarah juga memberi kritikan, dan menambah maklumat-maklumat tambahan. Bukan semata-mata mengulang baca nota-nota yang ditayang di papan layar. Istimewanya institusi keilmuan ini. Mahasiswanya tidak bermalas-malasan. Masa kosong mereka tenggelam dengan pembacaan dan diskusi. Kerana mereka jelas sekali akan matlamat dan wawasan hidup masing-masing. Kecintaan kepada ilmu bukan dipandang perkara yang enteng. Pendidikan akhlak yang baik tidak pula ditolak tepi. Mereka percaya, mereka problem-solver masyarakat di luar sana. Pasti tidak pantas untuk mereka bersenang-lenang. Kerana mereka mahasiswa bukan robot.


Kelas tamat, dan Ain terus berjalan ke perpustakaan. Tiba-tiba dia terlanggar batu besar di jalan raya. Dia terjatuh. Dunianya terasa berputar.

Ain terjaga dari tidur. Dia bermimpi rupanya. Dan dia bangun di dunia realiti. Ternyata realitinya jauh berbeza sekali dari mimpi. Dengan lemah-longlai dia ke bilik air. Bersiap-siap ke kelas. Dimasukkan buku-buku ke dalam beg. Tiada satu pun yang telah habis dibaca. Dia ambil soalan Tutorial yang masih belum dijawab. Dia akan berjumpa mayat-mayat hidup di kampus sana. Dan dia salah seorang darinya. Sesampai di kelas, ada yang awal ada yang lewat. Yang awal bersembang. Ada yang siapkan soalan Tutorial, cukup syarat.


Tutorial bermula. Ayat-ayat buku diulang baca. Semua jadi burung kakak tua. Oh! Petang itu ada ujian. Semua teman-temannya ralit membaca selepas tamat Kelas Tutorial. Nanti pasti semua dimuntahkan lalu dilupakan. Baca untuk dapat markah. Begitulah gayanya. Habis ujian, terus makan, berbual-bual cerita gincu, gosip dan gaya fesyen. Lalu tidur. Dan hari yang sama berulang kembali. Itulah kehidupanku. Seorang mahasiswi di Universiti.