Saturday, December 1, 2012

Kita pengislah Ummah?



Saya sentiasa mengharap dan mengimpikan saya akan tetap menjadi puteri kecil mok dan ayoh. Puteri kecil mereka yang kuat menangis dan hanya akan berhenti bila diberi sudip dan periuk untuk jadi alat permainan. Mengetuk-ngetuk dengan gembira bersama kakak-kakak comel yang lain. Atau puteri kecil mereka yang sangat suka membaca buku-buku cerita. Dari kecil, sudah mengelek-ngelek buku-buku cerita penyiasatan Siri Salma dan Siri Hadi. Puteri Kecil mereka yang diajar membaca iqra’ dan rajin mengaji. Memeluk al-Quran besar ketika usia baru awal 6 tahun sambil menangis-nangis. Sungguh, saya sentiasa mengharapkan saya masih puteri kecil itu.

Tapi ternyata, realitinya takkan begitu. Saya semakin membesar. Membesar di tempat yang berbeza, bersama mereka yang berbeza dengan gaya kehidupan dan stail pemikiran yang berbeza. Sangat berbeza. Sejujurnya, mahu saja saya menyorok kerana ketakutan, kerana perbezaan-perbezaan ini sungguh memberi cabaran. Apatah lagi bila memikirkan apa yang akan terjadi di masa depan, ujian apa lagi yang akan dihadapkan, sejauh mana kekuatan saya?  Sehingga pernah suatu masa saya bertemu anak kecil, saya beritahu mereka “dik, dunia ini menakutkan, jangan pernah mahu jadi dewasa ya. Nikmati masa kecilmu ini..” Tentunya mereka takkan memamahami. Dan, hakikatnya menjadi dewasa atau tidak bukanlah pilihan kita.

Kehidupan anak-anak kecil pastilah sentiasa gembira. Mereka masih belum memahami apa yang berlaku di sekeliling, menjadikan tanggungjawab tak tergalas di pundak mereka. Apa yang mereka tahu, mereka akan buat apa saja yang dapat menggembirakan hati mereka. Berbeza dengan kita yang sedang menuju dewasa. Ditambah pula, dengan disogok pelbagai pengetahuan, lalu membentuk kesedaran ‘ummah ini sedang tenat, usia remaja bukan masa rehat tapi waktu untuk berpenat’. Apakah pantas saya masih mahu berfikiran keanakan dan mementingkan keseronokan sendiri? Menutup mata dengan kecelaruan ummah lalu mengulang-ulang  hidup seakan robot di kilang-kilang. Bangun, ke kuliah, siapkan assignments, group discussion dan tidur, begitulah esok dan hari seterusnya.

Lalu saya ini, yang mengaku ingin menjadi pengislah ummat seharusnya lebih serius mendidik diri. Menambah kekuatan antibodi bagi menjadi pertahanan menghadapi virus-virus jahiliyyah abad ini. Sebagaimana telah digariskan dan seharusnya dicitakan dalam diri kita semua, 7 Maratib Amal. Bermula dari individu Muslim, menuju Keluarga Muslim, seterusnya Masyarakat Muslim, seterusnya Kerajaan Islam, Daulah Islamiyyah dan Ustaziyatul Alam. Bagaimana Individu Muslim yang seharusnya dibentuk? Lalu, Muwasafat Tarbiyah dengan sepuluh sifat yang digariskan, seharusnya menjadi panduan.  Aqidah yang sejahtera, Ibadah yang sahih, Akhlak yang mantap, Luas pengetahuan, Bermanfaat untuk orang lain, Sihat Tubuh badan, Mampu berdikari, Menjaga masa, Tersusun urusannya. Sepatutnya sebagai seorang muslim yang bercita-cita melihat alam ini kembali dikuasai oleh muslim yang sebenar, menggenggam dengan bersungguh-sungguh keperibadian muslim ini dan berusaha membentuk diri dengannya.

Apakah mampu mencapai ketujuh-tujuh maratib amal ini dengan hanya memandang pada pembentukan individu muslim tanpa melihat dan meneliti maratib seterusnya. Percayalah, dengan kejelasan pengetahuan dan fikrah tentang tangga yang seterusnyalah mampu membentuk individu muslim yang lebih berkualiti. Berfikir, dan rancanglah masa depanmu. Who you will be, in the next ten years? 20 years?
Merancang masa depan adalah menjadi suatu kewajipan untuk seorang yang mengaku sebagai pejuang Islam. Ramai kini di antara kita, mengaku sebagai seorang pejuang di dalam kampus, melibatkan diri dengan urusan dakwah dan tarbiyyah tapi, langsung tidak memandang dan merancang apa yang akan berlaku hari esok. Sekadar membiarkan hari-hari mereka tercorak sendiri. Patutkah begitu? Apakah kita hanya mahu menjadi agen pengislah ummah di kampus ini sahaja, menjadikan kerja-kerja menyeru ini sebagai part-time dan akan resign apabila melangkah keluar dari universiti ini. Lalu sahabat, marilah mencorak masa depan. Sebelum berhajat mengislah ummat ini, islah lah diri ini dengan bersungguh-sungguh. Bercita-citalah untuk menjadi seorang hamba yang solehah, ummat yang penuh cinta, anak yang solehah, isteri solehah, ibu penyayang, sahabat sejati, ahli masyarakat yang mengambil berat, ahli ilmuan dan saudara yang cakna. Tinggalkanlah, saki-baki sikap jahiliyyah di tepi. Bergerak dan teruslah bergerak mendidik diri. Terlalu banyak masa yang telah kita siakan.

Angkat kepala dan lihatlah mereka di sekeliling. Apakah kita telah melakukan tugasan yang tergalas di pundak kita? Sejauh mana ummah ini telah terislah. Allah.. sampai detik ini, saya sendiri merasakan saya masih belum berbuat apa-apa.