Sejak kecil, bila ditanya guru,
apa cita-cita awak. Saya hanya menjawab, “cita-cita saya nak jadi cikgu”. Walaupun
pada ketika itu saya yakin, saya sebenarnya tak punya cita-cita, sekadar
menjawab pertanyaan guru dalam kelas. Jawapan itu terus menjadi back-up untuk
saya bagi menjawab soalan guru di dalam kelas di sekolah rendah.
Lalu, saya bergerak untuk lebih
mengenali diri saya, apa yang saya paling cinta dalam hidup ini, itulah yang
saya mahu pilih menjadi cita-cita saya. Lalu saya memilih untuk bercita-cita
menjadi Doktor Haiwan. Saya mahu mengubati luka mereka. Saya mahu menyediakan
meeka tempat berteduh, bila tiada manusia yang memilih untuk melindungi mereka.
Saya mahu berkongsi makanan dengan mereka. Kerana hati saya sangat sakit
melihat mereka disakiti, dan saya tak mampu untuk hidup tenang, kalau haiwan di
sekeliling saya tak juga berbahagia.
![]() |
| From DevianART by lieveheersbeestje |
Saya semakin cuba untuk mengenali
diri, saya bukan hanya cintakan haiwan, tapi saya juga cintakan tumbuhan. Saya cintakan
alam ini. Saya mahu ia terpelihara dengan baik. Saya yang kecewa dengan cara
manusia tamak mengendalikannya. Saya mahu berbakti pada alam, dan mahu sentiasa
dekat padanya. Lalu, saya memilih untuk menjadi ahli botani. Tapi ahli botani
tetap tidak memuaskan hati saya kerana apa yang saya baca ketika itu, ahli
botani hanya untuk perihal tumbuh-tumbuhan, bagaimana dengan haiwan? Saya masih
ingat ketika saya membelek buku Ensiklopedia untuk mencari pekerjaan yang
bersesuaian dengan apa yang saya cinta.
![]() |
| From Flickr |
Saya semakin membesar. Ketidakmampuan
saya untuk melindungi apa yang saya cinta, buat saya mengabaikan cinta itu. Saya
abaikan cinta saya pada haiwan dan tumbuhan kerana saya merasa tak punya kuasa
untuk membantu mereka. saya tak mampu melindungi kucing di jalanan yang saya
jumpai. Saya tak mampu menghalang jentolak terus merodok pokok-pokok di hutan. Saya
mula melupakan cita-cita dan cinta saya. Saya mula bercita macam-macam. Tapi akhirnya,
saya tersungkur di bumi Maahad. Jurusan pelajaran yang saya ambil ketika di
Menengah Atas, tidak memungkinkan saya untuk bercita-cita besar lagi. Saya terhenti
di situ. Masih mencari dan tertanya-tanya, bagaimana saya akan mencorak hari
esok saya?
Saya telempar lagi. Di daerah
yang langsung tak pernah saya fikirkan. Yang tak pernah tersenarai dalam
cita-cita apatah lagi cinta saya. Saya kini seorang pelajar jurusan
undan-undang. Bidang guaman, tak pernah menjadi cita-cita saya langsung tak
terlintas di fikiran. Kerana dulu, saya melihat kerjaya sebagai seorang peguam
bukanlah untuk stok budak agama. Namun kini, kenapa tidak? Saya memilih untuk
terus belajar dalam jurusan ini. Dan saya mahu menjadi peguam.
Kerana cita-cita saya lebih besar
dari hanya untuk membela nasib haiwan dan tumbuhan. Saya mahu menjadikan dunia
ini, tempat yang lebih baik untuk didiami. Saya mahu semua manusia berpeluang
merasai kerahmatan hidup ini. Membela yang lemah dan miskin, yang tak punya
kemampuan. Saya mahu mereka turut merasa dunia ini masih ada sinar untuk
mereka. Mereka masih punya harapan untuk hidup yang lebih baik. Saya bercita-cita
untuk hidup sederhana. Saya mahu dan saya mengharapkan, suatu hari nanti saya
dapat hidup di dunia yang si kuat membantu si lemah dan si kaya membantu si
miskin. Saya mahu agar ummat ini terdidik dengan agama. Saya bercita-cita agar
manusia tak lagi mementingkan diri sendiri. Atau berpura-berpura di sebalik
tembok kebaikan, tapi sebenarnya mereka hanya sedang mencari keuntungan
sendiri.
![]() |
| From DevianArt by MothART |
Lalu hari ini untuk apa saya
belajar? Kerana tuntutan Tuhan. Untuk mereka yang nasibnya masih belum terbela.
Saya belajar bukan kerana memikirkan hanya nasib keluarga miskin saya, tapi
nasib mereka yang faqir, yang lebih memerklukan dari saya sendiri. Lalu saya
belajar hari ini. Saya berharap saya bekerja esok untuk mereka. untuk manusia,
haiwan dan tumbuhan yang telah lama tertindas. Saya tumpahkan cinta saya pada
mereka. dengan harapan dunia ini terisi dengan cinta dan harapan. Allahul musta3an. Astaghfirullah. Moga Dia Redha.



No comments:
Post a Comment