Sunday, June 2, 2013

What I Choose To Believe

Percaya.

Saya tersenyum. Facebook benar-benar mengajar saya banyak perkara. Facebook mungkin bagi orang lain adalah ruang yang membuang masa. Ruang yang menjadi punca kepada pelbagai masalah. Atau sudah ketinggalan zaman, berbanding Twitter, Insta, atau what so ever. Saya bersetuju, malahan saya merasakan keburukan Facebook bukan itu sahaja, banyak lagi.. jika anda menggunakan untuk perkara-perkara yang membawa kepada masalah tersebut, maka terimalah akibatnya.

Entah. Mungkin saya silap. Tapi saya melihat Facebook sebagai ruang untuk menggerakkan minda dan pemikiran saya. Dalam Facebook, saya berjumpa dengan orang yang sekepala dengan saya. Buat saya gembira dan senang hati. Tapi, juga mereka yang berbeza dengan saya, sama ada berbeza pendapat, kepercayaan atau lain-lain. Tapi merekalah yang memaksa minda saya untuk lebih berfikir dan bekerja, menilai kembali apa yang saya taklidkan sebelum ini. Dan saya bertemu dengan mereka yang jauh ke hadapan dari saya, menjadikan saya rasa dunia ini sangat luas, dan tugas saya sebagai manusia sangat banyak. Terlalu banyak. Mereka yang memperkenalkan saya pintu-pintu yang saya tak pernah jumpa, kalau saya hanya bergantung pada instinct saya -apa yang saya mahu baca, dan apa yang saya mahu tahu bukan apa yang saya perlu tahu.

Facebook benar-benar mencabar minda dan kepercayaan. Saya banyak belajar dari pengguna. Mereka yang bergerak berdasarkan apa yang mereka pilih untuk percaya. Bagaimana dengan saya? Tentunya saya ada pilihan tersendiri, untuk apa yang saya percaya. Tapi kenapa saya percaya? Saya tercabar bila melihat betapa besarnya perbezaan saya dengan manusia lain. Walau sekuat mana saya mendidik diri agar menerima perbezaan, tapi jauh di sudut hati, saya tetap berharap mereka turut memilih apa yang saya percaya. Tapi sayang, manusia memang berbeza.


Semua ini membuatkan saya tersenyum. Untuk apa saya terus pening memikirkan apa yang menjadi perbezaan. Teruslah bergerak. Kerana mereka yang berbeza itu sebenarnya sedang mengajar sesuatu. Kutiplah hikmah. Belajarlah dari silap dan betul mereka. Pilihlah untuk terus percaya.  

No comments:

Post a Comment