Thursday, January 16, 2014

Kalau Kamu Mengerti..




Semakin dewasa, kamu akan dilempar ke tempat-tempat yang tak pernah kamu impikan, diminta buat apa yang tidak kamu suka, dihalang buat dari apa yang kamu suka. Semakin kamu kamu dewasa, kamu semakin tidak faham dengan dunia ini dan manusia di dalamnya. Apa yang mereka mahu? Kenapa mereka begitu? Kenapa aku harus begini?

Manusia. Mereka memang mudah. Mudah melemparkan kata, mudah mencarik rasa, mudah mengarah itu ini. Kamu harus begitu begini? Apakah memang tak punya peluang untuk buat apa yang kita suka? Dengan alasan untuk kebaikan dan kepentingan itu dan ini. Serik dan senak. Bosan.

Tak pernah ada yang datang duduk bersila. Bertentang empat mata. Bertanya hati ke hati. Apakah kamu mahu atau tidak mahu? Apakah sanggup atau tidak sanggup? Atau di manakah kecenderunganmu?

Cuma.

Kamu boleh buat. Ini pilihan Allah. Dia tak serahkan pada yang tak mampu, banyak pahala. Jasa besar. Tak ada orang lain dah.

Mudah benar bicara.

Lalu, melihat aku terumbang-ambing, terkial-kial. Mula dikata belakang. Mula dicemuh-cemuh. Terus pakatan kepada orang atasan. Turun beramai-ramai dan serang.

Kamu, tidak buat kerja. Kerjanya tak berkesan. Tidak telus. Tidak bijak komunikasi. Tidak komitmen.

Aduh! Barangkali telus benar kamu yang mengata belakang terus ke pihak atasan. Satu silap dibesar-besarkan. Katanya kurang komitmen dan macam-macam hikayat. Tangisan air mata jadi saksi, betapa luluhnya hati mu dan kerasnya hatiku.

Cukup. Aku bosan. Lapang dada dan cari hikmah. Kata yang lain. Keampunan aku panjatkan. Apakah keras benar hati ini. Besar benarkah ego. Sampai begini sekali aku tidak dapat menerima.

Kalau kamu tahu, aku cuma mengharap satu. Tinggi itu bukan tempatku. Di depan itu bukan pilihanku. Aku cuma mahu berehat di pohon rendang sendirian. Dengan buku dan catatan. Aku mahu turun lapangan. Bersama rakyat yang susah dan golongan tertindas. Aku mahu beraksi di medan sebenar. Bukan syok beretorika di gelanggang sendiri.

Temanku mereka yang tertindas, mereka yang kurang upaya, orang-orang jalanan. Bukan kalian yang sembang kencang. Banyak benar masa kosongmu, sehingga salah sendiri tak terbilang. Sibuk mengukur baju di badan orang.

Cuma lemahku untuk memberitahu. Takut dituduh macam-macam. Takut yang kuat sembang menuduh orang menyembang. Aku cuma rakyat biasa hidupku berbakti pada rakyat biasa. Aku mahu benar-benar beraksi. Bukan buat-buat beraksi.

Kalau kamu mengerti dan orang sehebat kamu pasti tidak mengerti omong orang lemau gayaku.


No comments:

Post a Comment