sumber gambar : inernet
“Husna, sukar benar kan, mahu menggapai solehah di sisi
Tuhan..”
“Semestinya, perkara yang berharga takkan semudahnya kita
akan peroleh.. sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Jadi, untuk
memilikinya ada harga yang perlu dibayar.. kerana mulianya kedudukannya. sebab
itulah tak ramai yang mampu menggapainya. Mungkin ramai yang berusaha ke
arahnya, tapi ramai juga yang berhenti sekerat jalan. Atau ada yang melencong,
dan memilih jalan lainnya..”
“Benarlah, kerana solehah itu bukan hanya pada nama. Bukan
juga hanya pada pakaian, bukan jua pada ayu wajah, mahupun ucapan. Tidak juga
hanya pada kelembutan, tapi wanita solehah lebih dari itu. Sucinya, pada zahir
dan batin..” [mengeluh]
“Aiih.. mengeluh..?? sudah penat mengejar solehah kah..?”
[Tersenyum] “Kalau dibenarkan istilah penat dalam hidup
seorang mukmin, sudah lama mahu penat. Sudah lama, mahu berputus asa. Mahu
duduk bersila. Mahu saja, merasa cukup dengan apa adanya kini.. Enti, menggapai
solehah, kenapa sukar benar ya..? ”
“Emm.. Ya Tuhan, apa yang bermain dalam fikiran sahabat
ana ini ya.. benar, aku tak mengerti..”
“Ha3.. tak adalah, tak terniat pun nak berteka-teki. Cuma
ingin menghitung diri. Bukankah itu pesanan Saidina Umar. Tak salah bukan,
untuk mengamalkannya sentiasa.”
“tentulah, masakan salah.. tapi, ana kenal benar enti..
bila dikata menghitung diri itu, bukan sewenangnya. Tentu ada kisah di
sebaliknya. Ada sesuatu yang bermain di fikiran enti.. kongsilah, boleh jadi
tazkirah untuk diri ini juga.”
“enti, kita semua mengimpikan solehah. Darjat tertinggi
seorang muslimah. Darjat yang dicemburui bidadari rupawan di syurga. Mengimpikannya
ternyata mudah.
Saban hari, di laman Facebook, tak putus-putus ana
membaca status-status solehah dari mereka yang mengimpikan solehah itu. Itu
cerita mereka.
Begitu juga kita.. kita usahakan solehah itu. Kita
sarungkan pakaian labuh ini menghijab badan. Walaupun bukan jadi pilihan fesyen
terkini. Tak mengapa, kita benar merasa selesa dan selamat. Sebagaimana dalam
Surah anNur, dengan pakaian labuh ini lah kita akan dikenali sebagai wanita
yang baik-baik. Akan terlindung dari mereka yang berpenyakit hatinya.
Alhamdulillah..
Lalu, kita jaga rapi percakapan dan perlakuan kita. Agar
benar bersesuaian dengan uniform muslimah ini. Takut nanti, dikatakan tak padan
dengan pakaian yang tersarung. Adab dan sopan, malahan kita titik beratkan..
alhamdulillah.
Banyak perkara yang kita beri perhatian, agar kita tidak menjadi asbab fitnah kepada uniform muslimah
ini..”
“Ya.. moga kita
terus istiqomah.”
“kita tentunya memilih untuk istiqamah. Tak mahu dikata,
muslimah on-off. Takut nanti, hilang thiqahnya.. alhamdulillah, kita semua
dikenal sebagai wanita yang baik-baik. Dihormati oleh muslimin dan muslimat..
lalu, adakah kita telah benar solehah?”
“Solehah bukan pada ukuran kita..”
“Tepat sekali, kerana solehah bukan ukuran kita sebagai
manusia yang lemah ini lah, buat ana merasa terlebih sukarnya menggapai
solehah. Kadang-kadang kita seakan terlupa atau buat-buat lupa bahawa solehah
ini persembahan kepada Tuhan, bukan kepada manusia semata. Kalau manusia sudah
benar mengagumi kelembutan dan keayuan seorang muslimah. Membicarakan solehah
nya muslimah itu, kerana istiqamah benar dia menjaga pakaian, perbuatan mahupun
percakapan. Walaupun dunia dan seisinya, telah membicarakannya, misi menggapai
solehah masih belum selesai.. malah, mungkin menjadi semakin rumit..”
“Emm, menjadi semakin rumit..? bukankah, kita semakin
menghampiri solehah itu? “
“Tentunya menjadi
semakin rumit.. kita terkadang telah tertipu. Husna, ana sedang menghitung hati
sendiri.. ujian demi ujian, benar-benar menguji. Buat ana semakin lemah
mengejar solehah. Pujian demi pujian pula, buat ana semakin lemas. Kalau dulu
jalannya cuma satu, penuh berduri. Tapi semakin jauh ana berjalan, rupanya
jalan ini bukan hanya satu, banyak pula
cabangnya, malahan durinya tak pula berkurang. Ana terkeliru.. Solehah
bagaimanakah yang diimpikan Tuhan..?”
“Humaira’, kisahkan padaku, cerita hatimu..”
“Baiklah, ana tahu enti sedang pening dengan kiasan ana.
Ini cerita hati ana.. ana takut dan sedih mendengar pujian-pujian manusia. Seakan semua tu menjadi penambah beban menuju pada solehah di sisi Dia. takut andai Allah tarik keikhlasan dan Dia lencongkan jiwa ana ini, untuk meletakkan keredhaan manusia lebih utama. Astaghfirullah, teruk sungguh ana.
Ana tak layak menggelar diri sebagai muslimah. Apatah lagi, mengimpikan darjat
solehah. Ana jadi malu benar pada Allah, pada zahirnya, di mata manusia mereka
mungkin melihat ana baik, tapi mungkin ini semua hanya bertopengkan jilbab dan
jubah yang ana sarung setiap hari.
Sedangkan pernah dikisahkan, seorang muslimah sanggup
mengorek matanya, bila ada seorang lelaki memuji keindahan matanya. Tapi ana..?
malahan, semakin tidak pandai menjaga diri. Kalau pada zahirnya, benarlah ana
malu untuk berbuat maksiat. Tapi bagaimana dengan maksiat hati, merasa suka dan
senang bila dpuji, tidak tegar menjaga pandangan mata, mulut ringan menyebut
nama lelaki mahupun mengkisahkan tentang mereka, telinga menadah cerita-cerita
muslimin. Hati ana benar-benar tak tenang dengan semua ini. Hati dan minda yang
berkhayal, bagaikan seenaknya, memberi peluang pada hati untuk berzina. Husna,
hati ini benar-benar sedang menderita. Dia seakan merayu pada ana untuk
disucikan kembali.
Subhanallah, sukar benar mengejar solehah. Tika diri
sibuk membaiki dan mendidik diri. Terdengar suara-suara mengagumi, mata-mata
yang memuja. Terlarut seketika dengan lautan pujian yang melemaskan. Allah..
hati ana terlalai dengan semua tu. Hinggakan, ana takut mungkinkah niat ana
berbuat baik, beramal dan bekerja ini telah tersasar..? pujian mereka kah yang
ana harapkan.. ana seakan meletak tepi, redha dan rahmat Allah. Manusia seakan
lebih besar pengaruhnya di hati. Ya Allah, maafkan hambaMu, andai amalnya hari
ini kerana manusia-manusia lemah itu.
Bodohnya ana, dalam menempatkan asbab. Benarlah bodoh
ana, jika ana terus biarkan diri ana terlarut dengan semua fitnah dunia ini..
Husna, sukar benar menggapai solehah, kan.. dalam usaha
mendidik diri, begini pula Allah uji. terkadang ana mengharapkan, ana mahu saja
tak terlihat di mata manusia. Biar baiknya ana, hanya persembahan untuk Tuhan.
Buruknya ana, kerana lemahnya ana sebagai hamba Tuhan.
Bukan seperti kini, niat yang tersasar. Baiknya ana,
persembahan untuk manusia. Bila manusia memuji, semakin galak beramal. Bila ada
yang mengeji, pantas saja amal dikendurkan. Tak terasa langsung keikhlasan
dalam beramal!
Husna, ana cemburu dengan muslimah lainnya. Hebat benar
mereka menjaga hati.
Husna, ana malu dengan Allah. Entah apa bekal yang boleh
dibawa pada hari pertemuan denganNya nanti. Takut, saat di dunia ini lagi Allah
telah melempar segala amal ke muka ana, ibarat kain buruk kotor yang busuk..
sedangkan, ana kini tak mengetahui, sedang selesa dan merasa senang hati.
Merasa diri baik dan solehah, dengan pujian manusia sekeliling.. Malaikat yang
mempersembahkan amal kepada Allah saban hari, tentunya tak mampu memberitahu
ana. Andai ana mampu berinteraksi dengan
mereka, mungkinkah saban hari mereka akan memberitahu ana, “wahai jiwa yang
benama Humaira', amalmu hari ini tak diterima Tuhan, kerana kamu beramal bukan
keranaNya. Tapi amalmu ini semua dengan harapan kepada pujian manusia
semata-mata..” bagaimana juga nanti, ana seharusnya bersua dengan Nabi SAW di
akhirat..?”
“Humaira’, jangan begitu.. Jangan pernah lupa pesanan
Syeikh Zainul Asri. Katanya, sifat riya’ dan senang bila dipuji itu, memang akan sentiasa hadir. Namun,
kitalah yang seharusnya pantas ‘mengetuk’ sifat mazmumah itu dari merosakkan
amalan kita. Permulaan rasa riya’ itu, adalah terbitan dari syaitan, sebab
itulah kita harus menyegerakan dan memperbanyakkan istighfar. Menginsafi diri,
betapa pada hakikatnya kita sangat lemah dan penuh keaiban. Bila manusia
memuji, kembalikan pujian pada Allah, kerana tidak ada yang selayakanya
menerima pujian melainkan hanya Dia.
Jangan sekali-kali biarkan hati hanyut dengan pujian dan
sanjungan manusia. Kerana sekali terhanyut, sukar benar untuk kembali ke
pinggiran. Humaira', kuatkan ikatan hubunganmu dengan Tuhan. Jangan sesekali
meletakkan Dia di tepi. Biar ke mana pun kamu pergi, apa jua yang kamu lakukan,
sentiasa berhubung terus dengan Allah. Kita lemah sahabat.. tak ada kekuatan.
Melainkan hanya Dia.”
Husna memeluk bahu Humaira’ yang terhenjut-henjut menahan
tangisan. Inilah peranan sahabat. Walaupun Humaira’ sangat dikagumi oleh sahabat-sahabat kerana kelincahannya berpencak di pentas dakwah, ada masa
dia punya waktu lemah dan memerlukan mutiara hikam dari seorang sahabat sejati.
Semua tu, tak membuatkan Husna memandang rendah Humaira’, malahan merasa
sungguh bersyukur kerana dia diberi peluang untuk berkongsi kekuatan milik
Tuhan dengan seorang srikandi dakwah ini.
Humaira’ mengesat air mata dengan jilbab labuhnya sambil
tersenyum memandang Husna..
“Terima kasih, enti..”
'Ya Allah, sayang sungguh aku pada sahabat ini.. Kau redhailah dia, Kau cintailah dia. Ampuni segala dosanya, di masa lalu, di masa sekarang dan di masa akan datang. Kau pinjamkanlah dia kekuatan..'
Tiada hadiah terbesar dalam perjuangan menggapai solehah
ini, melainkan bila Allah menghadiahkan sahabat2 sejati yang sudi berkongsi kekuatan.. Bagaimana dengan kita? Di manakah kita meletakkan darjat diri dalam persahabatan? Moga Allah memberi kelapangan dada dan jauh dari hasad dengki. ^^
Sukarnya menggapai solehah, namun segalanya menjadi mudah bersama mereka yang turut ingin mengejar solehah.
Indahnya, kalau lebih ramai turut merasa..
.jpg)
No comments:
Post a Comment